Pelan pindah pelarian Palestin dari Rafah diragui

BHarianonline 
Penduduk Palestin meninggalkan wilayah yang dibom tentera Israel di tengah Bandar Gaza. - foto AFP
Penduduk Palestin meninggalkan wilayah yang dibom tentera Israel di tengah Bandar Gaza. - foto AFP
BAITULMAQDIS: Israel berikrar membenarkan penduduk Palestin yang bersesak di selatan Gaza keluar sebelum pihaknya melakukan serangan darat ke atas Rafah, namun keupayaan melaksanakannya diragui.

Beberapa pakar menyatakan mereka sangsi dengan hasrat Israel itu dan memberi amaran rancangan membawa orang awam di rafah keluar dari bahaya adalah suatu pekara yang sangat mustahil.

Kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berada di hujung paling selatan wilayah itu disekat Laut Mediterranean di bahagian barat, sementara selatan dan timur sempadannya ditutup, manakala tentera Israel bersedia menggempur dari utara.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertegas menghantar tentera ke Rafah untuk menumpaskan pejuang Hamas di kawasan yang bersempadan dengan Mesir dan Israel.

Pada Ahad lalu, Netanyahu berjanji membenarkan penduduk Gaza keluar dengan mengatakan, tenteranya tidak akan bertindak 'sebelum memastikan penduduk terperangkap di lokasi itu dipindahkan'.

Bagaimanapun, Israel masih tidak menjelaskan bagaimana atau bila pemindahan besar-besaran itu akan berlaku, sekali gus menjadi satu cabaran yang dianggap mustahil oleh pakar bantuan di wilayah yang bergolak itu.

"Orang ramai tidak tahu ke mana hendak bergerak. Tiada tempat selamat di Gaza," kata pakar mengenai pelarian di Human Rights Watch (HRW), Nadia Hardman.
Orang ramai bergegas bagi membantu remaja Palestin yang cedera dalam operasi pengeboman tentera Israel di tengah Bandar Gaza. - Foto AFP
Orang ramai bergegas bagi membantu remaja Palestin yang cedera dalam operasi pengeboman tentera Israel di tengah Bandar Gaza. - Foto AFP
Hardman menegaskan, untuk memindahkan 1.5 juta orang di kawasan yang sudah musnah dalam tempoh yang singkat tanpa pelan jelas adalah sangat mustahil.

Israel melakukan siri pengeboman tanpa henti dan serangan darat, yang menurut Kementerian Kesihatan Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 31,726 mangsa, kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Sehingga semalam, Menteri Luar Israel, Israel Katz, kekal mengelak mendedahkan butiran rancangan di Rafah, tetapi memberitahu radio awam Kan, 'sebelum sebarang operasi besar-besaran, pihaknya akan memindahkan rakyat'.

"Bukan ke utara, tetapi ke barat. Terdapat negara Arab yang boleh membantu mendirikan khemah atau menyelaras sesuatu yang lain di kawasan kecil antara Rafah dan Mediterranean," katanya.

Minggu lalu, Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, memberitahu media mengenai penubuhan 'pulau kemanusiaan'.

Katanya, bandar dengan binaan khemah seperti itu di wilayah Gaza akan terhindar daripada perang dan diselaras bersama bantuan masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun, Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, Jamie McGoldrick, berkata beliau tidak tahu di lokasi mana bandar seumpamanya sesuai diwujudkan.

"Sejujurnya saya tidak tahu di mana ia sepatutnya ditubuhkan. Bagaimana mereka mahu memindahkan jutaan orang dari tempat mereka berada sekarang? Adakah mereka akan ditolak, dipaksa, didorong secara paksa atau dinasihat berpindah?
Kereta kebal tentera Israel memasuki Gaza dari selatan Israel. - foto REUTERS
Kereta kebal tentera Israel memasuki Gaza dari selatan Israel. - foto REUTERS
"Itu bukan sesuatu yang disokong PBB kerana kami bukan sebahagian daripada mana-mana operasi pemindahan secara paksa," katanya.

Israel mengisytiharkan kawasan tertentu yang dilindungi ruang kemanusiaan, terutamanya di Al-Mawasi, kawasan pantai di selatan wilayah antara bandar utama selatan Gaza iaitu Khan Younis dan Rafah.

Namun, ratusan ribu orang bersesak untuk berteduh di khemah dan kawasan itu dibom beberapa kali sejak perang bermula lebih lima bulan lalu.

Netanyahu pula menggandakan rancangan untuk serangan Rafah yang diumumkannya lebih sebulan lalu, walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat.

Bagaimanapun, menurut Pakar Asia Barat di Yayasan Jean-Jaures, David Khalfa, ancaman itu juga membabitkan peperangan psikologi.

"Tentera Israel mengekalkan kekaburan strategik di sebalik rancangannya kerana mereka tidak mahu memastikan Hamas berada dalam ketidaktentuan," katanya.

Khalfa menggelar ancaman serangan besar di Rafah sebagai muslihat Israel untuk memaksa kumpulan pejuang itu mengendurkan kedudukan mereka dalam rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan