Pesilat Terengganu maut kena tendangan lawan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pesilat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu meninggal dunia awal pagi tadi susulan rebah terkena tendangan lawannya dalam pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban.

Wan Muhammad Haikal, 21, tidak sedarkan diri selama 20 minit dengan diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR), sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), namun disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi.

Kakak sulungnya, Wan Nor Haslinda berkata, keluarga diberitahu mengenai kejadian itu pada 5.30 petang semalam.

“Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.

“Tapi, saya tidak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan kira-kira 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti,” katanya menurut Berita Harian.

Menurut laporan itu, Wan Muhammad adalah anak keempat daripada lima beradik dan berada di Seremban untuk pra Sukma sejak Jumaat lalu.

Ibu bapa serta adiknya kini berada di HTJ untuk menunggu bedah siasat selesai dan urusan menuntut jenazah.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seremban, berkata mangsa tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan diberikan rawatan CPR.

“Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit serta merta, terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.

“Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus dibawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan dalam masa sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan