Terpaksa tadah air 3 pagi, penduduk Gurun bengang “tak tahu kami hidup zaman mana”

SITI NUR ZAWANI

Tadah air
Kredit gambar: Sinar Harian
Sebahagian penduduk di Taman Gurun Jaya, Gurun, Kedah yang berdepan gangguan bekalan air, meluahkan rasa kesal apabila terpaksa berjaga sehingga jam 3 pagi setiap hari semata-mata untuk tadah air bagi kegunaan harian.

Salah seorangnya, Mokhtar Ramli berkata, ia berikutan bekalan air hanya ada pada waktu tertentu terutama tengah malam dan awal pagi.

Dia juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang didakwa tidak tahu mengatasi isu air di kawasan tersebut.

“Kami tak tahu hidup ‘zaman’ mana, musim panas tiada air, musim hujan juga tiada air, dikatakan di sini kawasan tinggi, tekanan tak kuat.

“Itu tak masuk lagi alasan paip bocor dan lain-lain.

“Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu tahu bagaimana nak atasi, benda ini bukan baharu, dah lama,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Dakwa Mokhtar, terdapat sebuah tangki besar dalam kawasan perumahan berkenaan, namun beliau hairan gangguan air tetap berlaku.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Lutfi Romly, 65, mendakwa, mereka seolah-olah dipinggirkan apabila menjadi lokasi terakhir menerima bekalan air sedangkan taman itu wujud lebih awal berbanding kawasan perumahan lain.

“Kami dimaklumkan kawasan rumah ini agak tinggi kerana berdekatan dengan kaki Gunung Jerai tetapi pada ketika ini, alasan itu tidak sepatutnya dinyatakan, perlu pelbagai cara untuk atasi.

“Nampak macam terdesak sangat apabila lori air lalu, penduduk terkejar-kejar minta hantar ke rumah, sedangkan bekalan itu untuk penduduk bahagian lain, kami juga perlu ke tempat kerja, ada urusan lain yang perlu diselesaikan, bukanlah tunggu lori sepanjang masa,” katanya.

Jelasnya, keadaan cuaca panas juga menjadi faktor utama penggunaan air yang tinggi dalam kalangan penduduk bagi mengelakkan jatuh sakit dan dehidrasi.

Selain itu, Normatun Bakridun, 61, terpaksa meminta agar anak dan cucunya memendekkan tempoh cuti di rumah memandangkan ketiadaan bekalan air.

Normatun mendakwa, sejak menetap di situ pada 2015, gangguan bekalan air sering berlaku dan mengganggap kali ini adalah yang terburuk.

“Sedih rasa hati nak beritahu anak-anak yang balik bercuti dari luar daerah bila di rumah tak ada air.

“Bukan niat nak suruh mereka balik cepat tetapi kasihankan cucu yang masih kecil, nak mandi dan cuci lampin pakai buang tidak selesa apabila tiada air.

“Sekarang ni dalam pukul 3 hingga 6 pagi air muncul, kena tunggulah… jangan pelik bila ada penduduk taman ini yang siram pokok jam 3 pagi sebab waktu lain tiada bekalan,” dakwanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan