Jerman berdepan kes pembunuhan beramai-ramai Gaza di ICJ

AFP
Kemusnahan akibat serangan Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. - Foto AFP
Kemusnahan akibat serangan Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. - Foto AFP
THE HAGUE: Jerman berdepan tuduhan oleh Nicaragua di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini yang mendakwa ia membantu pelakuan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin menerusi sokongan ketenteraan dan politiknya kepada Israel.

Nicaragua membawa Jerman ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menuntut hakim mengenakan langkah kecemasan untuk menghentikan Berlin daripada membekalkan senjata dan bantuan lain kepada Israel.

Jerman membalas dakwaan itu, dengan jurucakap kementerian luar Jerman, Sebastian Fischer memberitahu pemberita sebelum perbicaraan yang mereka menolak dakwaan Nicaragua.

"Jerman tidak melanggar Konvensyen Genosid mahu pun undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kami akan menunjukkan sepenuhnya di hadapan ICJ," katanya.

Nicaragua akan menetapkan kesnya hari ini dengan Jerman akan memberikan hujah balas pada hari berikutnya.

Dalam hujah setebal 43 muka surat kepada mahkamah, Nicaragua berkata, Jerman melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948, yang ditubuhkan selepas Holocaust.

"Dengan menghantar peralatan ketenteraan dan kini menafikan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin)... Jerman membantu pelakuan pembunuhan beramai-ramai," katanya.

Nicaragua meminta ICJ memutuskan "langkah sementara", perintah kecemasan yang dikenakan sementara oleh mahkamah dalam mempertimbang kes yang lebih luas.

Katanya, adalah "penting dan mendesak" untuk mahkamah memerintahkan langkah sedemikian berikutan nyawa "ratusan ribu orang" terancam.

ICJ ditubuhkan untuk membuat keputusan dalam pertikaian antara negara dan menjadi pemain utama dalam perang antara Israel dan pejuang Hamas yang meletus selepas serangan 7 Oktober lalu.

Dalam kes berasingan, Afrika Selatan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Israel.

Dalam kes itu, mahkamah memerintahkan Israel melakukan segala-galanya untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dan baru-baru ini memperkukuh pendiriannya, dengan mengarahkan langkah tambahan yang mewajibkan Israel meningkatkan akses kepada bantuan kemanusiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan