TPM UK: Israel buat 'kesilapan besar' di Gaza

BHarianonline 
Oliver Dowden. - Foto AGENSI
LONDON: Israel melakukan kesilapan besar di Semenanjung Gaza susulan lebih 33,000 orang terbunuh sejak 7 Oktober, kata Timbalan Perdana Menteri Britain, Oliver Dowden semalam.

Dowden menegaskan United Kingdom (UK) tidak memberi kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu "carte blanche" (kebebasan sepenuhnya untuk bertindak mengikut kehendak seseorang) terutama selepas pembunuhan tiga pekerja bantuan UK.

Badan amal makanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen mengesahkan tujuh pekerja bantuan kemanusiaannya terbunuh dalam serangan Israel lewat Isnin minggu lalu.

Agensi Anadolu melaporkan pekerja berkenaan terdiri daripada warga Australia, Poland, UK dan Palestin, serta dwi kewarganegaraan AS-Kanada.

Dalam temu bual dengan Sky News, Dowden berkata adalah penting untuk memahami "trauma yang masih dideritainya (Israel)" sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas.

Merujuk sama ada negara itu harus menghentikan eksport senjata ke Israel dan nasihat daripada peguam kerajaan, Dowden berkata ia adalah "proses berterusan" dan akan kekal "rahsia."

"Kita harus memikirkan kembali bagaimana Israel pada hari serangan itu, trauma yang masih dideritainya. Sudah tentu, Israel telah melakukan kesilapan dan melakukan kesilapan besar dan kita harus mempertanggungjawabkan mereka untuk itu dengan standard sangat tinggi," katanya.

Dowden berkata, Perdana Menteri UK, Rishi Sunak dan Setiausaha Luar, David Cameron telah berkongsi kebimbangan mereka dengan Netanyahu.

Israel melancarkan serangan tentera di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan pada 7 Oktober oleh Hamas, yang mengorbankan hampir 1,200 orang.

Hampir 33,200 rakyat Palestin telah terbunuh sejak itu dan hampir 75,900 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang minggu lalu memintanya melakukan lebih banyak lagi usaha untuk mencegah kebuluran di Gaza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan