Mufti: Haram renjis kenderaan dengan niat hindari musibah

Malinda Abdul Malik
6859a33b-b1b7-405c-9ad9-5c2d6abcbb75-681x736
Tangkap layar menunjukkan seorang individu merenjis air pada sebuah kereta dan ia mendapat kecaman warga net yang menyifatkan ia sebagai perbuatan syirik.
GEORGE TOWN – Hukum melakukan upacara merenjis atau menepung tawar sesuatu objek termasuk kenderaan dengan kepercayaan ia mampu menghindari musibah, penganiayaan manusia atau jin adalah haram.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, berdasarkan ajaran Islam, tiada yang memberi manfaat atau mudarat melainkan Allah sahaja.

Jelas beliau, umat Islam dikehendaki memohon kepada Allah sahaja untuk mendapat rezeki, kejayaan dan begitu juga untuk menghindari sesuatu keburukan atau kemudaratan.

“Ini kerana tiada kejadian berlaku melainkan dengan ketentuan dan kehendak Allah. Bagaimanapun, agama Islam menyuruh umatnya berikhtiar dan berusaha bagi melindungi diri daripada penyakit atau bahaya dengan mengelak sebab-sebab yang boleh membawa penyakit dan kemudaratan.

“Dalam sebuah hadis muttafaq ‘alaih (Al-Bukhari dan Muslim), bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tiada  jangkitan penyakit (yang berlaku sendiri), tiada sial pada burung hantu dan bulan Safar.”

“Justeru barangsiapa percaya bahawa elemen-elemen ini boleh mendatangkan manfaat atau dapat menyingkir kemudaratan terhadap dirinya, maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik kepada Allah SWT,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular di media sosial memaparkan beberapa individu merenjis air ke atas sebuah kereta dipercayai bagi menghindar musibah dan ia mendapat kecaman warga net yang menyifatkan perbuatan itu sebagai khurafat.

Mengulas lanjut Wan Salim turut berpandangan upacara menepung tawar perlu dihentikan kerana ia merupakan perbuatan sia-sia yang tidak berfaedah selain merupakan perbuatan membazir.

“Sebagai umat Islam kita disarankan supaya   mengucap bismillah dan berselawat ke atas Nabi di samping berdoa kepada Allah apabila ingin memulakan sesuatu amalan yang baik.

“Kemudian apabila dikurniakan rezeki yang halal dan kejayaan, kita hendaklah mengucap Ahamdulillah sebagai tanda bersyukur dan lebih baik jika buat sedikit jamuan kepada rakan agar kehidupan kita diberkati dan sentiasa dimurahkan rezeki,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan