Peguam: 'Saksi kritikal' sedia sokong Najib tahanan di rumah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Seorang 'saksi kritikal' bersedia untuk memfailkan afidavit untuk menyokong semakan kehakiman bekas perdana menteri Najib Razak yang mahu menjalani tahanan rumah bagi baki hukuman penjara enam tahunnya.

Peguam utama bekas menteri kewangan itu Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan perkara berkenaan ketika ditemui media selepas pengurusan kes dalam kamar berhubung perkara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Bagaimanapun, peguam itu tidak mendedahkan siapa 'saksi kritikal' tersebut.

Difahamkan, semasa urusan kamar, Shafee memaklumkan kepada Hakim Amarjeet Singh mengenai dakwaan 'saksi kritikal' itu.

Amarjeet telah menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Najib bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan perintah tambahan yang didakwa oleh Yang di-Pertuan Agong dikaitkan dengan pengampunan separa yang mengurangkan separuh hukuman penjara bekas perdana menteri itu kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 1 April, Najib, ketika masih menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung sabitan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan