Rasa nak terkencing saat diacu raifal!

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Umpama berada di ambang maut. Itu pengalaman dialami lima sukarelawan rakyat Malaysia apabila diacu raifal tentera Israel ketika melalui sekatan berhampiran kem pelarian al-Arroub di selatan Tebing Barat laluan antara Hebron-Baitulmaqdis, Palestin bagi melaksanakan iftar anjuran Yayasan Nurjiwa, baru-baru ini.
 
Mereka terdiri daripada pesara bank Roslan Mustapha, 60; pengusaha kedai makan dan gimnasium Fazil Muhammad Dali, 50; siak Masjid Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa Idi Razi Razali, 49; kontraktor Shazwan Hardy Kusnondar, 37, dan bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Muhammad Salleh, 51.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Roslan berkata, kejadian berlaku pada 21 Mac lalu iaitu hari ke-11 Ramadan ketika mereka berjalan menuju ke kem pelarian al-Arroub menjelang waktu berbuka puasa.

"Kami keluar dari hotel penginapan di Kota Lama Baitulmaqdis selepas waktu Asar dan perjalanan ke kem pelarian itu kira-kira 30 kilometer (km) dan mengejar waktu iftar jam 5.58 petang waktu tempatan.

"Namun jalan ke kem ditutup oleh tentera Israel menyebabkan kami terpaksa parkir kenderaan jauh dan berjalan.

"Kira-kira lima meter untuk lalu sekatan tentera, tiba-tiba mereka mengangkat raifal dan cahaya di atas senjata itu jelas menuju ke arah kami. Masa itu memang tergamam, rasa nak terkencing pun ada," katanya ketika ditemui di pejabat Yayasan Nurjiwa, di sini, kelmarin.

Katanya, mereka sudah mengucapkan syahadah sebelum rakyat Palestin bernama Kasim yang menjadi penunjuk arah dan fasih berbahasa Hebrew secara spontan menjerit mengatakan sesuatu ke arah tentera Israel itu.

SUKARELAWAN Yayasan Nurjiwa menunjukkan bantuan kemanusiaan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin.
SUKARELAWAN Yayasan Nurjiwa menunjukkan bantuan kemanusiaan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin.
"Kami kemudian dibenarkan meneruskan perjalanan ke kem pelarian al-Arroub dan dapat melihat sendiri agihan pek juadah iftar sumbangan rakyat Malaysia menerusi Yayasan Nurjiwa selesai dilaksanakan seperti yang dirancang.

"Pada majlis iftar itu, kita dapat berikan juadah berbuka kepada 250 penghuni kem pelarian, manakala seramai 47 keluarga sangat susah turut menerima wang tunai AS$250 untuk perbelanjaan dapur.

"Alhamdulillah walaupun pakej makanan iftar terlalu mahal pada mulanya AS$12 satu pek... yang ada sebungkus nasi berlauk ayam, air mineral dan minuman ringan serta 'laban' (sos Palestin) itu sahaja. Kita dapat tawar diturunkan kepada AS$10 untuk satu pek," katanya.

Wartawan: Berhadapan suasana tegang dan cemas, jika ada lagi peluang ke Masjid Al-Aqsa, nak pergi?

Roslan: Saya berani. Sebenarnya masa mula-mula dapat tawaran pergi, saya tekad kepada diri, mati matilah. Apa saya nak takut. Saya mati dah tentu syahid.

Dia yang pernah ke Masjid Al-Aqsa pada 2015 sebagai pelancong berkata, semangat penduduk Palestin meningkat dalam kunjungan mereka itu berkemungkinan sejak serangan besar-besaran tentera Zionis.

"Saya perasan ada sedikit kelainan apabila orang-orang Palestin lebih bersemangat untuk mengimarahkan Masjid Al-Aqsa.

"Mungkin mereka memikirkan kenapa nak takut, lebih baik pergi Masjid Al-Aqsa mati, dapat syahid daripada terkurung dalam rumah," katanya.

Roslan turut menitipkan pesanan untuk dirinya dan umat Islam supaya membantu memuliakan Masjid Al-Aqsa dalam apa jua cara dengan kemampuan, khususnya mengimarahkan masjid suci ketiga umat Islam.

"Cubalah usaha dapat ziarah Masjid Al-Aqsa, sekurang-kurangnya memenuhi ruang kosong saf. Biar kita sentiasa ada orang berjemaah di Masjid Al-Aqsa.

"Kita pergi imarahkan masjid itu, isi mana-mana saf kosong. Itu sudah cukup besar ganjarannya, Tuhan sahaja yang tahu," katanya.

Sementara itu, Fazil berkata, mereka lega dapat menunaikan amanah diberikan Pengerusi dan Pengasas Bersama Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin untuk mengagihkan bantuan kepada rakyat Palestin hasil sumbangan rakyat Malaysia.

"Apabila Datuk K (Khalid) menghantar sukarelawan, kami tunjukkan apa yang dibeli untuk rakyat susah di Palestin.

"Apa yang kami buat, jadi berharap Yayasan Nurjiwa serta penyumbang berpuas hati," katanya sambil menjelaskan secara keseluruhan mereka berada di bumi anbia itu selama 16 hari bermula 13 Mac lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan