Polemik kita di bulan Ramadan dulu dan sekarang

Mohsin Abdullah

Alhamdulillah dalam kalangan Melayu-Islam di Malaysia tercinta Ramadan ini tidak timbul polemik berapa rakaat mesti didirikan semasa sembahyang tarawih. Tidak seperti pada suatu ketika dahulu bila mana jumlah rakaat dipertikai – 20 atau 8? Ada yang tanya mana lebih afdal? Ada yang tanya mana yang wajib? Padahal sembahyang tarawih itu sendiri sunat.

Ada yang mengutarakan sunah Nabi untuk perkukuh hujah. Bertungkus lumus para ustaz tampil memberi penjelasan. Ada yang rasional. Namun ada pula yang berkeras mempertahan pendapat sekaligus secara tidak langsung menidakkan pendapat ustaz ‘sebelah sana’.

Lazimnya persoalan itu dibiar atau terbiar tergantung tanpa keputusan muktamad yang diterima semua pihak. Kumpulan 20 rakaat dan kumpulan 8 masing-masing yakin mereka betul. Jadi mereka lakukan apa yang mereka yakini hinggalah berakhirnya Ramadan pada tahun itu. Tetapi mengapa ditimbulkan lagi persoalan 20 atau 8 pada Ramadan tahun depannya? Sedangkan masing-masing sudah ada jawapan sendiri.

Seperti dikatakan tadi Ramadan ini malah sejak Ramadan kebelakangan ini tidak ada lagi polemik sedemikian. Sekurang-kurangnya tidak secara terbuka. Bagus. Diharap 20 atau 8 tidak dibangkitkan lagi kerana rasanya semua sudah faham. Agamawan sudah menjelaskan dengan sejelas jelasnya.

Bercakap mengenai sembahyang tarawih (ada orang eja ‘terawih’), dulu ada juga ‘pertikaian’ tentang tazkirah pada setiap empat rakaat. Ertinya sembahyang empat rakaat rehat untuk beri laluan kepada tazkirah yang disampaikan oleh imam atau ustaz jemputan. Tazkirah tidak ambil masa lama. Selesai tazkirah sembahyang tarawih diteruskan hingga empat rakaat lagi, diikuti takzirah sesi kedua. Ini biasanya membabitkan sembahyang tarawih 20 rakaat. Untuk sembahyang tarawih lapan rakaat sesi pertama tazkirah diadakan setelah empat rakaat selesai. Sesi kedua tazkirah dilaksanakan setelah Tarawih selesai sebelum witir didirikan.

Yang menyokong cara ini berkata ini sesuai dengan tafsiran bahawa sembahyang tarawih adalah ‘rehat-rehat’. Yakni didirikan cara santai dan tidak terburu-buru. Waktu ‘rehat’ diisi dengan majlis ilmu. Yang tidak setuju pula kata cara itu memanjangkan waktu sembahyang sehingga lewat malam dan menyusahkan jemaah yang perlu kerja pagi keesokkan hari.

Seingat saya ini berlaku pada 1990-an semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat. Beliau tidak setuju. Amalan tazkirah ditengah-tengah tarawih tidak dijalankan di masjid di banyak negeri meskipun tidak ada larangan rasmi dikeluarkan.

Bagaimanapun ia dilangsungkan di Kelantan yang diperintah PAS. Di negeri itu tazkirah antara empat rakaat dilaksanakan di kebanyakan jika tidak semua masjid dan surau termasuk semasa Nik Aziz Nik Mat yang ketika itu menteri besar Kelantan menjadi imam sembayang tarawih. Orang Umno tuduh tazkirah di Kelantan berbaur politik. Orang PAS menafikan. Saya tidak pasti sama ada tazkirah ditengah-tengah tarawih masih diadakan di Kelantan atau di mana-mana negeri. Jika ada pun saya kira sudah tidak dijadikan isu. Bagus.

Itu dulu. Ramadan ini ada polemik ke? Ada menurut seorang ustaz kenalan saya. Kata beliau ada “ulang siar pasal niat witir. Tular kembali menjadi polemik.”

Yang dibising-bisingkan kata seorang lagi ustaz ialah dakwaan niat solat witir yang dilafazkan ramai orang kononnya tidak tepat. Ada pula yang keliru mana yang betul — sembahyang witir dua rakaat satu salam diikuti sembahyang satu rakaat satu salam, atau solat tiga rakaat dua salam. Ramai yang mengaju persoalan kepada beberapa ustaz dan agamawan terkemuka yang jawapan serta penjelasannya boleh diikuti antaranya di YouTube. Bagi ustaz kenalan saya “yang paling utama usahakan solat tarawih dan witir selesai bersama imam”. Benar. Tidak perlu kecoh-kecoh. Tidak perlu jadikan isu.

Ramadan ini ada juga video tular mengenai jemaah wanita di masjid yang tidak mahu memenuhi ruang kosong di saf depan mereka apabila ada jemaah yang keluar. Ada pihak tuduh “orang perempuan suka sembahyang dengan geng lalu tidak mahu tinggalkan geng untuk pergi saf depan yang kosong”. Waullahualam. Untuk berlaku adil penjelasan jemaah wanita mesti didengari sebelum ‘hukuman’ dijatuhkan. Namun sehingga kini belum ada yang tampil menjelaskan. Atau mungkin saya yang terlepas pandang dan terlepas dengar. Apa pun sudah ada ustaz yang beri penjelasan mengapa saf mesti sempurna dan ruang kosong mesti diisi.

Baru-baru ini ada beberapa kawan yang berbincang mengenai ejaan nama rasmi bulan puasa. Adakah ejaan ‘Ramadhan’ yang tepat atau ‘Ramadan’ yang tepat? Kata seorang kawan beliau memilih ‘Ramadhan’ kerana ia lebih dekat dengan bunyi asalnya dalam Quran. Kata seorang lagi kawan ‘Ramadan’ ialah ejaan baku Dewan Bahasa dan Pustaka. Mereka bincang dengan memegang prinsip setuju untuk tidak setuju. Tidak ada masalah.

Apa pun satu perkara yang tidak timbulkan polemic, sesuatu yang kita semua sebulat suara setuju bahawa bila azan Maghrib berkumandang itu bermakna waktu berbuka puasa.

Selamat berpuasa semua dan ya selamat berbuka. Iftar kata orang Melayu yang gemar istilah Arab .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan