BERNAMA
KRI Banda Aceh-593, FOTO Instagram @atemalem
Surabaya: Tentera Laut Indonesia mengerahkan salah satu kapal perangnya, KRI Banda Aceh-593, untuk mengangkut penduduk yang mahu pulang beraya dari Jakarta ke Semarang di Jawa Tengah, dan Surabaya di Jawa Timur, lapor agensi berita Antara.
Panglima Markas V Angkatan Laut Indonesia, Brigedier Jeneral Marin Joni Sulistiawan menyatakan, kapal perang itu dikerahkan bagi memudahkan orang ramai yang mahu pulang beraya terutama mereka yang gagal mendapatkan tiket pengangkutan awam.
"Kami juga menyasarkan untuk mengurangkan aliran jalan raya di samping menyediakan perjalanan yang selamat dan selesa untuk pengembara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
KRI Banda Aceh-593, kapal perang dermaga pelantar pendaratan, mengangkut seramai 1,026 individu yang mahu pulang beraya dan 276 motosikal.
Kapal perang itu berlepas dari dok Komando Lintas Laut Tentera (Kolinlamil) di Jakarta pada Jumaat (5 April), dan transit di Semarang, sebelum tiba di Surabaya pada Ahad (7 April).
Brigedier Jeneral Sulistiawin menyuarakan kepercayaan bahawa program pulang hari raya percuma menggunakan kapal perang itu akan membantu melancarkan laluan pulang di sepanjang Jakarta, Semarang, dan Surabaya.
Beliau kemudian menyatakan bahawa tentera laut bersedia untuk mengendalikan kapal perang untuk mengangkut pengembara pulang ke Jakarta, melalui laluan sama pada 15 April.
"Orang ramai yang berminat (dalam perjalanan) boleh mendaftarkan diri di Markas Tentera Laut V di Surabaya dan Pangkalan Tentera Laut di Semarang," katanya.
Vivin, salah seorang peserta program berkenaan berkata, dia menikmati pelayaran selama dua hari itu.
"Saya berasa selesa walaupun mengembara bersama bayi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan