Sangkut dalam tren lebih 4 jam pada malam raya

KOSMO!
Keadaan penumpang ETS yang tersangkut lebih empat jam ekoran sistem talian elektrik terputus.
PETALING JAYA – Suasana malam raya buat penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) bertukar suram apabila tersangkut lebih empat jam gara-gara tren yang mereka naiki mengalami gangguan perjalanan.

Dalam hantaran di aplikasi X @quexieqbal, ia melibatkan sebuah tren dari Kuala Lumpur menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, gangguan tersebut menyebabkan bekalan elektrik terputus selain perjalanan tren terhenti sebelum Stesen Parit Buntar pada pukul 5.13 petang.

“Panas dan lapar. Nak solat dan pergi tandas, tiada air. Nak caj telefon bimbit tiada elektrik pula. Pukul 7.50 malam baru lampu dibuka semula.

“Kesian kanak-kanak dan warga emas. Masing-masing dah tak tahu nak buat apa dalam gerabak,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kesemua penumpang kemudian dipindahkan menaiki tren bantuan pada pukul 9.44 malam sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.

“Kakitangan KTMB cuba sedaya upaya memberi penerangan dan memohon maaf. Terima kasih walaupun tindakan yang diambil sedikit lambat,” jelasnya.

Sementara itu, KTMB dalam kenyataan berkata, pihaknya memohon maaf kepada semua penumpang terjejas berhubung masalah gangguan perkhidmatan ekoran sistem talian elektrik terputus.

“Gangguan yang berlaku adalah berikutan daripada masalah alat talian elektrik yang terputus di antara Kamunting dan Bukit Merah.

“Penumpang ETS terjejas telah dipindahkan ke set ETS bantuan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi dengan selamat. Sekali lagi, KTMB mohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan