Kelantan: Air tak keluar setitik pun sejak 5 tahun lalu, letihlah berharap dekat AKSB

SITI NUR ZAWANI

Seorang penduduk di Kota Bharu meluahkan rasa kesal terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan kerajaan negeri yang seolah-olah tidak ada usaha menyelesaikan masalah air bertahun-tahun.

Penduduk dari Kampung Jelawat, Fahayu Ramli, 38, berkata, sejak lima tahun lalu setitik air pun tidak keluar dari paip rumahnya.

Tetapi yang menambah rasa kesal apabila dia terpaksa membayar bil meter semata-mata.

“Sejak lima tahun lalu kehidupan kami anak beranak hanya bergantung kepada air telaga tiub. 

“Lebih sedih air telaga tiub keruh dan berbau menyebabkan habis pakaian rosak.

“Paip AKSB tidak mengeluarkan air setitik pun sejak lima tahun lalu dan sudah letih untuk berharap kepada AKSB bagi menyelesaikan masalah air,” katanya memetik laporan Berita Harian semalam.

Pada masa sama, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Aiman Yusri Mohd Yusof menyifatkan kerajaan negeri seolah-olah gagal menyelesaikan masalah berkenaan kerana sehingga kini rakyat berdepan masalah sama.

“Bukan hanya satu daerah, sebaliknya semua daerah berdepan masalah air. Ada yang saya turun padang melihat penduduk terpaksa mengambil air sungai sejak beberapa tahun disebabkan bekalan air tiada.

“Sehingga kini selepas lebih 30 tahun, saya tidak nampak usaha Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan kerajaan negeri dalam menangani masalah air.

“Sepatutnya AKSB atau kerajaan negeri menambah bilangan lori bagi menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas, bukannya hanya mengumumkan projek jangka masa panjang semata-mata,” katanya seperti dilapor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan