Aktivis politik meninggal dunia dalam tahanan

BHarianonline 
Netiporn Sanesangkhom melancarkan mogok lapar sejurus selepas penahanannya untuk membantah sistem keadilan Thailand. - Foto AGENSI
Netiporn Sanesangkhom melancarkan mogok lapar sejurus selepas penahanannya untuk membantah sistem keadilan Thailand. - Foto AGENSI
BANGKOK: Seorang aktivis politik Thailand meninggal dunia dalam tahanan hari ini , kata Jabatan Pemulihan.

Kumpulan bantuan undang-undang berkata, mangsa melakukan mogok lapar semasa penahanan praperbicaraannya atas tuduhan termasuk menghina monarki negara.

Netiporn 'Bung' Sanesangkhom, 28, adalah sebahagian daripada kumpulan antimonarki kecil yang dipanggil 'Thaluwang,' membawa maksud "menghancurkan istana", dengan menganjurkan tindakan seperti tinjauan pendapat serta mempersoalkan kuasa monarki dan mengadakan perhimpunan kecil bagi membebaskan anggota yang ditahan.

Dia dipenjarakan sejak 26 Januari lalu.

Pada mulanya Netiporn ditahan selama sebulan atas tuduhan menghina mahkamah berkaitan pergelutan dengan pengawal mahkamah pada 2023, menurut kumpulan bantuan guaman Thai Lawyers for Human Rights.

Penahanan praperbicaraannya dilanjutkan selepas mahkamah membatalkan jaminannya daripada kes berasingan iaitu penghinaan diraja dan ia berpunca daripada protes pada 2022, kata kumpulan bantuan guaman itu.

Semasa dalam tahanan, Netiporn enggan mengambil makanan dan air selama sebulan sebagai protes terhadap aktivis politik yang tidak diberikan jaminan.

Dia kemudiannya mula mengambil minuman pada akhir Februari dan makanan pada April selepas dihantar ke hospital penjara kerana kesihatannya yang semakin merosot, kata kumpulan bantuan guaman itu.

Jantung Netiporn "berhenti secara tiba-tiba" harii ini, kata jabatan itu dalam satu kenyataan dan pasukan perubatan di hospital penjara cuba memulihkannya sebelum menghantarnya ke hospital Universiti Thammasat di mana dia diisytiharkan meninggal dunia.

Jabatan itu berkata, hospital universiti akan menjalankan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Netiporn menghadapi tujuh kes mahkamah berkaitan kegiatannya, termasuk dua pertuduhan pelanggaran lese majeste atau menghina monarki.

Undang-undang lese majeste Thailand adalah salah satu yang paling ketat di dunia bagi melindungi istana daripada kritikan dan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pelanggaran.

Lebih 272 orang sudah didakwa menghina monarki sejak 2020, dengan 17 daripada mereka kini dipenjarakan dalam tahanan praperbicaraan, menurut Peguam Hak Asasi Manusia Thai.

Dua lagi aktivis kumpulan Thaluwang yang ditahan dalam tahanan penahanan praperbicaraan sejak Februari turut melakukan mogok lapar.

Dua lagi ahli kumpulan itu sudah melarikan diri dari negara itu, dan ahli yang selebihnya tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan