Anggota polis dicekup disyaki culik pelancong China

KOSMO!

BANGKOK  – Seramai 10 orang termasuk dua yang pernah berkhidmat dengan polis Thailand ditahan kerana terlibat dalam penculikan lima pelancong China dari sebuah hotel di Bangkok akhir bulan lalu, lapor portal berita VnExpress semalam.

Pelancong itu diculik untuk memeras ugut mereka sebanyak 2.5 juta baht (RM322,259).

Antara yang ditahan ialah seorang sarjan polis yang bekerja di pusat komunikasi kecemasan dan seorang bekas ketua penyiasat di Bangkok yang dipecat daripada pasukan itu pada 2023, lapor akhbar Bangkok Post.

Siasatan awal mendapati sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka  anggota polis memecah masuk ke dalam bilik hotel tempat lima pelancong China tersebut menginap pada 25 April lalu, lapor akhbar The Nation.

Kumpulan itu menuduh kelima-lima pelancong itu melanggar undang-undang dan mengarahkan mereka ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Menurut polis, kumpulan itu meminta pelancong China itu memindahkan wang sebanyak 2.5 juta baht ke akaun bank yang ditetapkan.

Lima pelancong tersebut yang takut dipenjarakan di negara asing bersetuju untuk memindahkan wang itu sebelum dibebaskan tetapi mereka kemudian memfailkan aduan kepada polis berhubung kejadian itu. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan