Tentera mabuk didenda RM2,200, lesen memandu digantung dua tahun

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my

MELAKA: Seorang anggota tentera didenda RM2,200 serta digantung lesen memandu selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memandu kereta dalam keadaan mabuk, tahun lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Francis Devi Anak Jenen, 31, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta tetapi tidak layak memandu kerana berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan di Jalan Limbongan pada 10 Disember 2023, kira-kira jam 4.40 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 dan juga boleh dipenjara tidak lebih dua tahun.

Tertuduh juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu selama tempoh

tidak kurang dua tahun daripada tarikh sabitan.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibunya yang sakit, namun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,200 atau dua bulan penjara jika gagal bayar serta lesen

memandu kelas 'D' digantung dua tahun bermula hari ini. Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan