FMT Reporters
PETALING JAYA: Kekalahan Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK Kuala Kubu Baharu minggu lalu, mungkin mengubah dinamik pemilihan parti itu susulan timbul desakan supaya syarat bertanding jawatan ‘top 5’ digugurkan.
Peraturan Bersatu menetapkan hanya ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) selama dua penggal layak bertanding jawatan presiden yang kini disandang Muhyiddin Yassin, timbalan (Ahmad Faizal Azumu) dan naib (Radzi Jidin serta Ronald Kiandee).
Seorang lagi penyandang jawatan naib presiden Mohd Rafiq Naizamohideen telah keluar parti pada Oktober 2022.
Sumber Bersatu berkata ketika ini timbul gesaan daripada akar umbi supaya syarat kelayakan bertanding lima jawatan parti itu digugurkan atas alasan kelangsungan parti menjelang PRU16.
“Kekalahan PRK Kuala Kubu Baharu memberi amaran pimpinan Bersatu perlu diperkuatkan pada pemilihan akan datang, tetapi syarat sedia ada mungkin menghalang pemimpin tertentu yang mempunyai kemampuan menguatkan parti daripada bertanding.
“Difahamkan cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat MPT Bersatu dalam masa terdekat, MPT ada kuasa gugurkan syarat itu tanpa perlu ke mesyuarat agung luar biasa,” katanya kepada FMT sambil mendedahkan perkara itu pernah cuba dibangkitkan tetapi dihalang pemimpin berada dalam ‘top 5’.
Sumber turut mendedahkan telah ada percaturan perjalanan parti oleh segelintir pemimpin Bersatu yang dilabel ‘anak emas’, selain susunan jawatan termasuk kedudukan setiausaha agung yang kini disandang Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.
Dakwanya, ada yang telah menjelajah ke seluruh negara untuk ‘berkempen’ membawa orang berada dalam senarai ‘cai’ dengan meminta ahli mengundi pasukannya pada pemilihan yang dijangka September ini.
“Difahamkan Muhyiddin akan menang tanpa bertanding kerana tidak dicabar pada pemilihan itu namun dijangka ‘melepaskan’ jawatan selepas setahun untuk membolehkan peralihan kuasa kepada pemimpin baharu.
“Keadaan ini menyebabkan ada yang mengintai kedudukan pemangku presiden, kuasanya cukup besar kerana boleh menentukan hala tuju parti termasuk siapa calon PRU16,” katanya.
Sumber itu berkata ramai ahli tidak bersetuju jika pemilihan ‘dicatur’ pemimpin tertentu sehingga melemahkan parti jika pertandingan tidak dibuka kepada semua.
“Kena buka kepada semua tanpa ada syarat supaya kita dapat pemimpin yang benar-benar orang parti untuk memimpin Bersatu pada masa depan, sekarang ini pilihan terhad.
“Kalau syarat ini gugur pasti ramai mahu bertanding jawatan timbalan presiden ke bawah, mereka tak akan cabar Muhyiddin,” katanya yang mendedahkan antaranya yang berpotensi termasuk Hamzah.
“Dalam temu bual dengan FMT, beliau ada beritahu hanya menunggu ‘lampu hijau’ Muhyiddin…mungkin inilah maksudnya (gugur kelayakan bertanding top 5 hanya untuk MPT dua penggal).”
Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu November lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden parti, tetapi kurang 24 jam mengubah pendirian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman, untuk ‘tidak mengecewakan ahli yang memerlukannya’.
Bersatu dijangka mengadakan pemilihan MPT dan bahagian tahun ini selepas ditangguhkan selama 18 bulan sejak Mei 2023.
Tumpuan pastinya terarah kepada kerusi presiden dan timbalannya yang akan membayangkan calon perdana menteri PN, seperti ketika PRU15 apabila Muhyiddin dicalonkan ke jawatan itu sesuai statusnya sebagai pengerusi PN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan