Diplomat Singapura didakwa rakam video remaja lelaki mandi di Jepun

AGENSI

SINGAPURA: Seorang pegawai kanan Kementerian Luar (MFA) Singapura digantung tugas selepas didakwa merakam video seorang remaja lelaki di tempat mandi awam di Jepun pada Februari lalu.

Ketika kejadian, pegawai kanan berusia 55 tahun yang kini sudah kembali ke Singapura pada pertengahan bulan lalu bertugas sebagai diplomat di Kedutaan Singapura di Jepun.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Jepun dan mengambil tindakan yang perlu.

"Kami juga bersedia mengetepikan kekebalan diplomatik untuk memudahkan siasatan jika fakta yang didakwa terbukti," kata kementerian itu semalam sebagai menjawab pertanyaan CNA.

Menurut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, seorang diplomat tidak boleh ditahan.

Terdahulu media Jepun melaporkan seorang diplomat yang bekerja di Kedutaan Singapura di Tokyo disoal siasat polis tempatan selepas disyaki merakam seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di tempat mandi awam.

MFA berkata ia dimaklumkan mengenai dakwaan itu kelmarin ketika dihubungi media Jepun.

Kementerian itu berkata dakwaan itu dibuat terhadap seorang pegawainya yang sebelum ini memegang jawatan di Kedutaan Singapura di Tokyo.

"Kakitangan (anggota) terbabit telah menyelesaikan tugasnya seperti yang dijadualkan dan kembali ke Singapura pada pertengahan April 2024," katanya, sambil menambah pegawai itu tidak memaklumkan kepada kementerian mengenai kejadian itu sehingga disoal mengenainya kelmarin.

MFA berkata ia mengharapkan semua kakitangannya mematuhi standard kelakuan tertinggi dan mematuhi undang-undang negara tuan rumah.

CNA turut melaporkan sejak kesalahan yang didakwa dilakukan pada 27 Februari 2024 dan sehingga hari ini, MFA belum menerima maklumat daripada pihak berkuasa di Tokyo.

"Kementerian telah menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat dan akan menyiasat kejadian itu secara menyeluruh," katanya.

Diplomat berkenan adalah "bekas" kaunselor di kedutaan, menurut Perbadanan Penyiaran Jepun, NHK.

Kaunselor ialah pangkat diplomatik bagi pegawai yang berkhidmat di luar negara, seperti di kedutaan.

Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan pada 27 Februari lalu, suspek menggunakan telefon pintarnya untuk merakam secara rahsia seorang pelajar sekolah menengah tahun satu di bilik persalinan di tempat mandi awam dalam keadaan budak itu berbogel.

Anggota kakitangan di tempat mandi awam di Wad Minato Tokyo dilaporkan menghubungi polis dan sebaik tiba, polis menggeledah telefon diplomat terbabit dan menemui "pelbagai gambar bogel lelaki", menurut akhbar Asahi Shimbun.

Akhbar itu melaporkan diplomat itu enggan ke balai polis tetapi memberitahu pegawai dia telah mengambil gambar sedemikian di tempat mandi awam lain.

Apabila diminta memadamkan gambar dari telefonnya, diplomat itu "memadamnya di tempat kejadian", lapor akhbar Jepun.

Diplomat terbabit didakwa memadam 700 gambar dari telefonnya yang diambilnya dalam tempoh enam bulan sebelum kejadian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan