Hidir Reduan Abdul Rashid
Ahli perniagaan Deepak Jaikishan berkata sambutan ulangtahun kelahirannya pada Mac tahun lalu telah dirosakkan oleh kenyataan 'gelap dan jahat' bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Azmin Ali.
Deepak hari ini memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi plaintif dalam kes saman J&E Advance Tech Sdn Bhd terhadap Azmin kerana mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak kerajaan untuk mengimport telur dari India tanpa tender terbuka.
Semasa pemeriksaan utama oleh peguam syarikat, Weera Premananda, saksi itu membidas kenyataan Azmin ketika berceramah apabila mendakwa kerajaan meluluskan lesen import untuk syarikat itu membawa masuk telur dari India, dan tiada tender terbuka atau rundingan terus sama sekali.
"Ia hari lahir saya pada 11 Mac apabila berita (berhubung ceramah Azmin) disiarkan. Adalah satu perkara yang zalim untuk Azmin berbohong mengenai saya di atas pentas seperti itu, ia menyakitkan hati semasa saya memotong kek hari jadi saya," kata Deepak di hadapan pesuruhjaya kehakiman Leong Wai Hong.
Berkenaan petikan kenyataan Azmin di mana Deepak disebut sebagai 'kawan Rosmah', ahli perniagaan berusia 52 tahun itu membidasnya sebagai pembohongan memandangkan isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu merupakan musuhnya.
Deepak memberikan keterangan itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam Azmin, Nizamuddin Abdul Hamid.
"Semua orang tahu dia musuh ketat saya, kerana dia telah memusnahkan saya dan perniagaan saya. Dia pastinya bukan kawan saya," kata Deepak, mendakwa Azmin bukan sahaja memfitnahnya tetapi juga plaintif sebenar dalam saman itu, iaitu J&E Advance Tech.
Pengurus besar dan pengurus teknikal syarikat itu ialah Rajesh Jaikishan, adik kepada Deepak.
Semasa prosiding awal hari ini di mahkamah sivil, Rajesh memberi keterangan bahawa tiada rundingan terus untuk firma itu mengimport telur dari India.
"(Dakwaan) Mereka semuanya tidak benar. Tidak ada rundingan terus. Ini adalah permohonan yang telus melalui jabatan veterinar untuk import telur (dari India), kerana kekurangan telur di negara ini (Malaysia).
"Kami melalui proses mendapatkan telur dari India dan melalui jabatan kawal selia kesihatan mereka, dan menyerahkan dokumentasi syarikat kepada agensi India dan Malaysia untuk kelulusan," kata saudara kepada Deepak itu ketika memberi keterangan.
Perbicaraan akan disambung Jumaat ni, di mana Azmin dijangka berada di kandang saksi untuk menangkis saman fitnah terhadapnya.
Awal tahun lepas, syarikat itu memfailkan saman fitnah berhubung ucapan Azmin di Kuala Lumpur pada 11 Mac tahun lepas, khususnya ucapan bekas menteri besar Selangor itu yang mendakwa Deepak telah memperoleh kontrak mengimport telur itu melalui rundingan terus.
Pada Januari tahun lalu, kerajaan meluluskan import telur dari India sehingga Jun untuk menangani kekurangan telur ayam di pasaran tempatan.
Dalam kenyataan pembelaannya, Azmin menafikan cuba memfitnah syarikat pengimport telur itu dalam ucapannya, dengan menyatakan bahawa dia hanya mempersoalkan janji kerajaan Anwar Ibrahim untuk mewujudkan tender terbuka bagi semua perolehan kerajaan.
Defendan itu berkata ucapannya tidak pernah menyebut nama syarikat dan merujuk terus kepada kerajaan dan Deepak.
Dalam jawapan syarikat yang difailkan pada 11 Ogos tahun lepas, plaintif membalas bahawa kenyataan Azmin adalah fitnah pada awal ucapannya dan pada bahagian berikutnya apabila mendakwa pihak tertentu terlibat dalam penyelewengan, yang dalam fikiran munasabah mana-mana pendengar secara tidak langsung merujuk kepada syarikat itu.
J&E Advance Tech berkata walaupun ucapan Azmin tidak menamakannya, syarikat itu menegaskan adalah menjadi pengetahuan umum bahawa plaintif ialah pengimport tunggal telur dari India, berikutan namanya disebut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu pada 8 Mac tahun lepas.
Melalui saman sivil itu, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan teruk dan teladan yang tidak dinyatakan.
Firma itu memohon injunksi untuk menghalang Azmin daripada terus memfitnahnya, serta faedah lima peratus ke atas sebarang jumlah penghakiman yang diberikan, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan