IDE: Meski Melayu undi PN, sokongan Melayu kepada PH juga meningkat

Harapandaily

Meskipun Perikatan Nasional (PN) memperoleh sokongan pengundi Melayu, namun sokongan kaum itu kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga meningkat.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati PH-BN menguasai undi bagi kategori 41 tahun ke atas yang membolehkan gabungan itu menang di PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Pun begitu, Perikatan Nasional pula menguasai undi bagi kategori 40 tahun ke bawah.

Kajian itu merumuskan kemenangan gabungan Kerajaan Perpaduan kerana peningkatan sokongan dari semua kaum.

Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir, berkata, PH-BN memperoleh peningkatan tiga peratus undi daripada kaum Melayu, berbanding pencapaian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

“Sokongan kaum Cina masih kekal kepada PH, manakala sokongan kaum India turut menunjukkan peningkatan sebanyak lapan peratus kepada gabungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PN memperoleh 56 peratus undi Melayu, berbanding 42 peratus oleh PH-BN.

“Gabungan Kerajaan Perpaduan perlu merancang strategi untuk (menarik undi) anak muda,” katanya.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan menyaksikan anak muda menjadi antara golongan yang terendah, iaitu kurang 55 peratus.

Khairul Arifin berkata, secara keseluruhan, peratusan turun mengundi dalam PRK Kuala Kubu Bharu adalah 61.5 peratus, berbanding 76.9 peratus, yang tertinggi pernah dicatatkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Peratusan turun mengundi bagi kaum Melayu dan Cina adalah kira-kira 63 peratus, manakala India, kira-kira 57 peratus.

“Sentimen selain PRU, menyebabkan pengundi muda dan pengundi yang tidak lagi mempunyai orang tua atau ibu bapa di Kuala Kubu Bharu, majoritinya tidak teruja untuk turun mengundi.

“Seramai 38.5 peratus memilih untuk tidak mengundi, iatu seramai 15,480 pengundi.

“Usaha masih perlu dipergiat untuk memberi kesedaran supaya turun mengundi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan