Hakim: 'Walaupun suka sama suka, buatlah dengan cara betul'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
WEI Young dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan selepas mengaku rogol dan cabul remaja perempuan. FOTO Alias Abd Rani
WEI Young dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan selepas mengaku rogol dan cabul remaja perempuan. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Ubahlah perangai dan kamu (tertuduh) jadilah orang baik selepas jalani hukuman ini.

"Diharap apa yang kamu lakukan ini adalah yang pertama dan terakhir," demikian nasihat Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan terhadap seorang peniaga atas kesalahan merogol dan amang seksual remaja perempuan bawah umur.

Tertuduh, Siah Wei Young, 26, berhadapan dua pertuduhan sebelum itu, mengaku bersalah di mahkamah sama hari ini, sejurus kedua-dua pertuduhan dibaca jurubahasa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang juga peniaga ikan hiasan dalam talian didakwa merogol remaja terbabit di rumahnya di Kluang, pada 5 petang, 22 Julai tahun lalu.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama, pada 5.45 petang, 3 Mei lalu dengan kejadian ini juga berlaku di rumah sama.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Pada prosiding itu juga, Abu Bakar memberitahu, hukuman yang dijatuhkan terhadap tertuduh juga mengambil kira kepentingan awam dan juga mangsa.

"Walaupun ada elemen suka sama suka, tetapi kamu tidak boleh mengambil kesempatan ke atas mangsa.

"Kamu lebih dewasa daripadanya (mangsa) dan sepatutnya, kamu memberi perlindungan. Kalau suka sekalipun, buatlah dengan cara yang betul," katanya.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa membuat laporan polis pada 6 Mei lalu selepas anaknya memaklumkan dia dirogol tertuduh selepas dibawa ke rumahnya di Kluang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili Amalia Marsita Hamdan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar hujahan dan rayuan pihak pendakwaan serta pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama.

Manakala pertuduhan kedua, dua tahun penjara dan satu sebatan dengan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan, 7 Mei lalu.

Pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tahun sebaik selesai menjalani hukuman selari dengan Seksyen 27 AKKSTKK.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan