Mahu berpolitik sepanjang masa: Bersatu tak lihat rakyat bosan jika ada pilihan raya lagi

NS Ramli

Bersatu tidak melihat rakyat akan bosan dan tidak berminat lagi mengundi jika pilihan raya kecil diadakan lagi.

Pemimpinnya Saifuddin Abdullah berkata demikian ketika mengulas berkaitan kemungkinan itu, susulan desakan supaya wakil rakyatnya yang menyokong Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.

Sebaliknya, Saifuddin berkata “pengkhianat” perlu dihukum kerana disiplin parti dan kepercayaan rakyat amat mustahak.

"Jadi, kalau kita tak ambil tindakan, parti seperti tidak ada disiplin dan rakyat akan hilang kepercayaan kepada calon kami yang akan bakal bertanding,” kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.

Katanya, mereka juga akan berterus terang kepada pengundi bahawa apa yang berlaku kepada tujuh wakil rakyat itu tidak dijangka.

“Dan pada masa itu, kita berharap rakyat meneruskan sokongan kepada kami kerana kami akan berterus-terang mengatakan bahawa ketika kami memilih calon pada PRU yang lepas, semuanya baik-baik belaka.

“Dan kita tak jangka ada antaranya akan 'tergelincir'. 

"Manalah kami tahu apa yang akan berlaku,” katanya dalam sidang media di Indera Mahkota, dekat Kuantan, hari ini.

Berdasarkan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Pendaftar Pertubuhan, anggota parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka yang menyokong kerajaan dan pemimpin yang tidak dipersetujui Bersatu akan hilang keanggotaan dan  perlu mengosongkan kerusi. 

Terdahulu Saifuddin bersama Adun Bersatu Pahang - Jasri Jamaludin (Kuala Sentul) dan Mohd Yazid Mohd Yunus (Lepar) - menandatangani surat ikrar kesetiaan terhadap parti, seperti diarahkan oleh Setiausaha Agung parti, Hamzah Zainudin pada Jumaat lalu. 

Seorang lagi ahli parlimen Bersatu dari Pahang, Abdul Khalib Abdullah tidak hadir pada majlis itu kerana mempunyai program di Pulau Tioman. 

Namun, Abdul Khalib sudah menandatangani surat berkenaan di hadapan Hamzah pada 17 Mei lalu di ibu negara. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan