Remaja perempuan hilang lepas naik teksi e-hailing ke tempat kerja di Ipoh

RIZAL ZAINAL 
Seorang remaja dilaporkan hilang di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said di Ipoh sejak 24 April lepas.
SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang di Ipoh, Perak sejak 24 April lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan mengenai kehilangan Safiea Dania Muhamad Zakri yang beralamat Lot 60630, Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said di Ipoh.

Katanya, sebelum laporan kejadian diterima, mangsa dipercayai telah mengikut abangnya menaiki motosikal ke tempat kerja.

"Dalam perjalanan, motosikal dinaiki rosak dan abangnya meminta mangsa menaiki teksi e-hailing ke tempat kerjanya," katanya sambil menambah gadis itu tidak membawa sebarang bagasi ketika kejadian.

Tambahnya, Safiea Dania dipercayai memaklumkan ibunya bahawa dia bekerja di kantin sebuah kilang di Jelapang, Ipoh.

"Namun, mangsa gagal ditemui selepas ibunya cuba mencarinya di kilang terbabit.

"Ibu mangsa menghubungi rakan anaknya dan diberitahu bahawa mangsa bekerja di sebuah kedai makan di Kampung Tawas, Ipoh.

"Ahli keluarga telah pergi sekitar kawasan itu namun masih gagal menemukan mangsa," katanya.

Difahamkan, Safiea Dania kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang berwarna ungu dan tudung hitam.

“Mangsa berambut ungu paras dada, berkulit cerah, tinggi kira-kira 159 sentimeter dan berat kira-kira 56 kilogram,” katanya.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Anis Safira Roslan di talian 018-786 5440 atau balai polis daerah di talian 05-245 1500,” katanya. — The Star/IVAN LOH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan