Wanita dipenjara tiga tahun, beri maklumat palsu

Abdul Rahemang Taiming
bhnews@bh.com.my
Sitti Jalminah (kanan) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, atas kesalahan mengemukakan maklumat palsu kepada JPN, sepuluh tahun lalu. - Foto ihsan JPN
Sitti Jalminah (kanan) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, atas kesalahan mengemukakan maklumat palsu kepada JPN, sepuluh tahun lalu. - Foto ihsan JPN
SEMPORNA: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sepuluh tahun lalu.

Tertuduh Sitti Jalminah Biddarin, 56, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kad pengenalan seorang kanak-kanak perempuan yang bukan anak kandung tertuduh di JPN Semporna, kira-kira jam 11.23 pagi, pada 15 Disember 2014.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikecualikan daripada hukuman penjara sebaliknya dikenakan hukuman denda sahaja.

"Yang Arif, ini adalah kesalahan pertama dan saya mengaku salah serta berjanji tidak akan mengulangi lagi. Saya berbuat demikian atas dasar kasihan dengan penyamar," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Nadzeri dalam hujahnya memohon hukuman berat dan maksimum dikenakan terhadap tertuduh.

Ini kerana perbuatan memberikan maklumat palsu dan menganjurkan seorang individu yang bukan warganegara bagi mendapatkan suatu identiti iaitu kad pengenalan berstatus warganegara dengan menggunakan sijil kelahiran anaknya yang telah meninggal dunia adalah kesalahan serius.

Mahkamah kemudiannya, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Mei 2024.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan