Suspek buang bayi bawah kereta dipercayai orang luar

Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suspek yang membuang mayat bayi perempuan di bawah kereta Proton Iswara di Apartment Putra Ria di sini, Jumaat lalu, dipercayai tinggal di luar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, ia berdasarkan maklumat dan soal siasat yang dijalankan di lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai enam saksi sudah diambil keterangan termasuk individu yang menemui mayat bayi itu dan penduduk berdekatan bagi membantu siasatan kes.

"Hasil siasatan, kita tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan 'orang luar' iaitu bukan penduduk di apartment berkenaan.

"Soal siasat dilakukan, penduduk mendakwa tiada individu mengandung atau baru melahirkan bayi di kawasan itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, hari ini.

Ku Mashariman berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat bayi itu bagi mengetahui punca kematiannya.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan terhadap mayat bayi mendapati kecederaan pada pipi kiri bayi disebabkan oleh haiwan kerana bayi dibuang berhampiran tempat pembuangan sampah.

"Kesan gigitan bukanlah berpunca daripada gigitan binatang besar seperti anjing tetapi hanya binatang kecil sahaja.

"Namun kita perlu menunggu laporan bedah siasat untuk butiran lanjut," katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan pelaku adalah warga asing berdasarkan bentuk fizikal bayi itu.

Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan, seorang saksi menjumpai mayat bayi perempuan di bawah sebuah kereta Proton Iswara ketika menyapu sampah di tempat letak kenderaan di Apartment Putra Ria.

Mayat bayi terbabit dijumpai dalam keadaan luka kecil di pipi kiri dan berada dalam keadaan yang cukup sifat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan