AWAS!!! Sewa PPR kepada orang lain: Operasi besar-besaran dalam masa terdekat

Bernama

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan operasi besar-besaran dalam masa terdekat bagi mengesan pemilik Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan rumah mereka kepada pihak lain termasuk warga asing.

Menteri Nga Kor Ming memberi amaran itu dan KPKT akan menggunakan undang-undang sedia ada bagi memastikan pemilik PPR tidak melanggar undang-undang kerana projek perumahan itu menerima banyak peruntukan subsidi oleh kerajaan.

“Kos kita sampai RM300,000 tetapi pembeli hanya membayar RM45,000 dulu dengan kata lain, setiap unit rumah kerajaan bayar lebih RM240,000 subsidi untuk mereka.

“Apabila mereka mohon, alasannya tiada rumah tetapi apabila dah dapat, tak duduk dan sewa kepada orang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jalan Utama Bandar Seri Botani.

KPKT juga mendapati kebanyakan pemilik PPR melanggar kontrak dengan menyewakan rumah mereka kepada pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin.

“Semua pemilik PPR wajib mematuhi syarat-syarat dalam kontrak kerana kita dapati ramai dapat, dia sewa kepada pekerja asing. Ada juga sewa kepada pekerja asing tanpa izin. Perkara ini kita tidak akan kompromi,” katanya.

Sementara itu, KPKT akan melihat keperluan pemasangan kamera litar tertutup dalam lif PPR bagi mengatasi masalah vandalisme.

“Jangan paksa saya pasang CCTV dalam lif. Kami percaya rakyat tidak memerlukan perkara seperti itu. Kita mesti beradab dan perlu sentiasa ada kesedaran sivik,” katanya.

Nga menggesa penduduk PPR supaya membayar yuran penyelenggaraan bagi memastikan segala kemudahan yang rosak dapat dibaiki untuk kegunaan penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan