Rakam gambar wanita buang air kecil, warga Indonesia didenda RM4,000

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
FERI didenda RM4,000 atas kesalahan merakam gambar wanita membuang air kecil di tandas. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
FERI didenda RM4,000 atas kesalahan merakam gambar wanita membuang air kecil di tandas. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Tukang cuci warga Indonesia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merakam gambar wanita membuang air kecil di tandas sebuah kedai menjual biskut.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Feri, 27, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Feri didakwa dengan sengaja merakam menggunakan telefon bimbit gambar seorang wanita berusia 24 tahun sedang membuang air kecil di tandas kedai berkenaan di Lorong Hang Jebat, di sini, pada jam 4.15 petang, 2 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa yang berasal dari Klang, Selangor ternampak satu telefon bimbit pada lubang dinding di sebelah kiri ketika hendak memakai seluar di dalam tandas.

Mangsa yang terkejut terus mencapai paip air dan menyiram ke tangan yang memegang telefon binbit itu dan bergegas keluar dari tandas kerana ketakutan.

Mangsa yang bekerja sebagai eksekutif kanan logistik di Selangor kemudian menceritakan kejadian kepada teman lelaki sebelum melaporkannya kepada pengurus kedai.

Pengurus terbabit memeriksa telefon bimbit pekerja warga Indonesia dikenali sebagai Feri dan mendapati ada beberapa video wanita di dalam tandas.

Sementara itu, peguam Kent Tan Chow Teng memohon tertuduh dikenakan hukuman denda rendah atas alasan itu kesalahan pertama anak guamnya yang juga penanggung tunggal keluarga di Indonesia.

Katanya, tertuduh baru sebulan bekerja di kedai terabit dan mempunyai empat adik yang masih bersekolah selain bapanya berusia 70 tahun uzur dan menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun berhujah supaya hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, Nabilah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan jika gagal bayar, tertuduh dipenjara tambahan enam bulan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia selepas tamat menjalani hukumam bagi tujuan penyingkiran dari Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan