Bengkel guna budak bawah umur 'repair' kenderaan diserbu

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Puchong: Sebuah bengkel membaiki kenderaan mewah di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, dikesan menggunakan buruh asing bawah umur seawal usia 13 tahun.

Remaja lelaki berusia 13 tahun itu adalah antara lima buruh asing 'muda' yang berjaya diselamatkan anggota polis Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi operasi Ops Pintas Mega di sini, tadi.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati bengkel kenderaan berkenaan membaik pulih kenderaan mewah buatan Itali, Jerman, Jepun dan beberapa negara lain.

Difahamkan, remaja bertubuh kecil itu dikerah bekerja sembilan jam sehari dan selama enam hari seminggu.

Mangsa dipaksa melakukan pelbagai tugas sebagai pembantu bengkel dan hanya diberikan upah sebanyak RM45 sehari.

"Saya datang dari Myanmar untuk bekerja di sini sejak setahun tahun lalu. Saya tinggal bersama bapa di sebuah rumah tidak jauh dari bengkel ini.

"Di sini saya buat pelbagai kerja membaiki kereta terutama kerja-kerja baiki body (luaran kereta) dan kerja mengecat," kata remaja lelaki yang kurang mahir bertutur dalam Bahasa Malaysia atau inggeris itu.

Mengikut pengakuan salah seorang mangsa berusia 17 tahun yang mampu berbahasa Malaysia, dia dan rakan-rakannya menerima upah berbeza-beza bermula RM900 sehingga RM1,800 sebulan.

Remaja itu mengaku masuk secara haram ke negara ini sejak dua tahun lalu dan bekerja untuk

menyara ibu dan ahli keluarga lain di Myanmar.

"Ayah saya sudah meninggal dunia semasa saya kecil. Bapa saudara yang bayar untuk saya datang ke sini (Malaysia), jadi setiap bulan saya ambil sedikit duit gaji untuk belanja dan baki semuanya hantar ke kampung (Myanmar).

"Kerja di sini semua okay (tiada masalah), makan semua beli sendiri, cukup semua. Bos (majikan) pun tak ada berkasar pada kami," katanya.

Semasa serbuan dilakukan polis, kesemua mangsa dan beberapa pekerja warga asing serta tempatan sedang sibuk melakukan kerja-kerja pembaikan pada beberapa kenderaan mewah di premis yang mempunyai tiga lot kedai berkenaan.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, PDRM berjaya menyelamatkan lima mangsa membabitkan remaja lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi sejak hampir 20 tahun lalu.

"Semasa serbuan dibuat, semua pekerja dan mangsa sedang melakukan kerja-kerja membaikpulih dan memasang alat ganti kenderaan," katanya hari ini.

Menurutnya, 22 pekerja lelaki kesemuanya warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Soffian berkata tiga warga tempatan berusia 41 hingga 46 tahun terdiri daripada dua lelaki iaitu pengurus dan pemilik premis serta seorang wanita yang merupakan akauntan syarikat turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Fokus utama operasi adalah pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0).

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007, dan Seksyen 6(1)(c) sertaSeksyen 15(1)(c)Akta Imigresen 1956/63," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan