Dua sahabat menumpang rumah saudara kantoi bawa dadah lebih RM41,000

NOR AINNA HAMZAH
Amran (dua, kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di IPD Kuala Pilah, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!
KUALA PILAH – Hajat dua sahabat untuk mengedar dadah lebih sekilogram dengan nilai RM41,684.80 dari Johor ke Pahang lebur apabila kedua-duanya ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sompo Dangi, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, kedua-duanya suspek warga tempatan berusia 38 dan 41 tahun ditangkap kira-kira pukul 1.30 pagi dalam serbuan Ops Tapis, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Menurutnya,motosikal salah seorang suspek mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kedua-duanya tidak dapat meneruskan perjalanan ke Pahang dan terpaksa menginap di rumah saudara.

“Kita yang mendapat maklumat awal ini mengenai penagih tegar ini telah membuat serbuan ke atas rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan telah menjumpai lima paket plastik dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1,075.30 gram serta sepaket plastik dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 25.4 gram.

“Dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 3583 orang penagih dadah jenis heroin dan nilai rampasan dadah jenis heroin adalah RM38,710.80. Manakala dadah jenis syabu bernilai RM2,974 dengan nilai keseluruhan RM41,684.80,” katanya dalam Sidang Media di IPD Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Ujar Amran lagi, hasil saringan awal air kencing kedua-dua suspek dapati positif dadah jenis “Morphine”, turut disita dua buah motorsikal jenis Yamaha Y15 ZR dan Yamaha 135 LC yang disyaki diperolehi dan juga digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, nilai rampasan motorsikal dianggarkan RM13,000 dan RM7,000 yang keseluruhannya bernilai RM20,000.00.

“Hasil semakan rekod kesalahan lampau dapati suspek yang berusia 38 tahun mempunyai empat rekod lampau berkaitan Narkotik dan lima rekod lampau berkaitan jenayah.

“Manakala suspek yang berusia 41 tahun mempunyai 10 rekod lampau berkaitan narkotik dan satu rekod lampau berkaitan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan