Harga diesel di stesen runcit Semenanjung RM3.35 seliter mulai 10 Jun

FMT Reporters
 
PETALING JAYA: Harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung akan ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter mulai 10 Jun 2024 (Isnin).

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata harga tersebut adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Mekanisme Harga Automatik’.

Untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

“Kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan.

Beliau menambah dengan mekanisme bantuan bersasar yang telah tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel di Semenanjung.

“Esok 10 Jun seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan Budi Madani yang pertama,” katanya.

Kementerian Kewangan membuka permohonan bantuan subsidi tunai dibawah inisiatif Budi Madani sebagai langkah untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan.

Amir menyeru golongan yang berkelayakan untuk memohon bantuan itu. “Bantuan ini tidak ada tarikh tutup.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan