'Kita ada masalah besar, hampir semua sungai di Lembah Klang 'dijajah' ikan bandaraya'

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Bangi: Hampir semua sungai di Lembah Klang termasuk tasik dan lombong kini terjejas dengan kebanjiran ikan asing terutama ikan bandaraya yang membiak dengan cepat.

Antara tiga sungai utama yang terjejas di Lembah Klang adalah Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Selangor yang dibanjiri ikan bandaraya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, ikan bandaraya paling dominan di sungai yang ada dan amat sukar dimusnahkan.

"Ikan ini asalnya daripada orang yang mempunyai akuarium. Dia bela ikan ini untuk cuci lumut yang ada dalam akuarium tapi apabila ikan ini sudah besar, dia lepaskan.

"Memang dia lepaskan seekor, tapi kalau ribuan orang yang berbuat seperti itu, ia akan jadi banyak dan membiak dengan cepat. Memang kita hadapi masalah sangat besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat-Memburu Ikan Asing Bersama Komuniti di Denai Sungai Kebangsaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar dan Pengasas Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Mohamad Haziq A Rahman.

Dalam program bermula jam 7 sehingga 11.30 pagi itu, sebanyak 737 kilogram ikan bandaraya berjaya ditangkap.

Menerusi program itu, sebanyak 10,000 ekor benih ikan lampam dilepaskan ke Sungai Langat.
IZHAM Hashim (tengah) bersama ikan bandaraya yang berjaya ditangkap di Denai Sungai Kebangsaan @ Sungai Langat Bangi. FOTO Asyraf Hamzah
IZHAM Hashim (tengah) bersama ikan bandaraya yang berjaya ditangkap di Denai Sungai Kebangsaan @ Sungai Langat Bangi. FOTO Asyraf Hamzah
Mengulas lanjut, Izham berkata, antara masalah lain dihadapi sekiranya adanya ikan bandaraya ini ialah disebabkan sikapnya yang suka menebuk lubang di tebing sungai.

"Ikan ini apabila mahu bertelur dia akan tebuk tebing sungai. Ia menyebabkan tebing sungai kita terhakis dan runtuh. Ini satu lagi masalah (yang dibawa oleh) ikan ini," katanya.

Izham berkata, kerajaan kini dalam perancangan membantu daripada segi tempat pemprosesan ikan itu selepas ia ditangkap untuk dibuat palet.

"Mungkin kita boleh sediakan tempat yang lebih tetap untuk proses (ikan yang ditangkap). Kita tangkap, proses, hancurkan dan dibuat makanan ikan.

"Kita buat palet untuk dijual dan harganya 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran makanan ikan. Ini satu petanda baik yang boleh dijadikan sumber untuk alternatif.

"Selain itu, kita juga akan beri insentif kepada mereka yang menghantar ikan itu. Kita sedang tengok semua ini," katanya.

Ditanya aspek penguatkuasaan, Izham berkata, pihaknya kini sedang dalam proses pemurnian undang-undang.

"Ia sudah dibawa dalam mesyuarat exco dan sedang dilihat oleh kamar undang-undang. Tahun ini juga kita akan selesaikan.

"Isu ini juga membabitkan pelesenan tempat ternakan ikan seperti bagaimana pelepasan dalam sungai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan