Jika termakan daging khinzir muntahkan semula jika mampu - Mufti

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Muslim yang termakan daging khinzir secara tidak sengaja atau tanpa diketahuinya tidak dianggap bersalah, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, hukum berkenaan adalah didasarkan kepada dalil al-Quran dan hadis.

"Termaklum bahawa daging khinzir adalah haram dimakan penganut Islam berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 173.

"Ia bermaksud "diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang disembelih tanpa menyebut nama Allah SWT," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, maksud yang sama difahami juga daripada ayat tiga surah al-Maidah.

Katanya, firman Allah SWT bermaksud "dan tidaklah berdosa ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (berdosa) dalam apa yang disengajakan oleh hati kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang (Surah al-Ahzab ayat 5)".

"Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud "sesungguhnya umatku dimaafkan tentang apa yang dilakukan secara tersalah, terlupa dan (apabila) dipaksa melakukan sesuatu (yang haram)" (Ruwayat Ibnu Majah).

"Ulamak menasihatkan, jika seorang Muslim mengetahui bahawa dia sudah termakan daging khinzir dan mampu memuntahkannya maka dia hendaklah berbuat demikian," katanya lagi.

Wan Salim berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Harian Metro susulan kejadian penghantar makanan (p-hailing) tersilap hantar pesanan hingga anak pelanggan termakan daging babi panggang.

Kisah itu dikongsikan pengguna Facebook (FB) Izham Nayan menerusi hantaran di platform tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan