Ulasan mufti pasal heboh anak pelanggan termakan daging babi panggang

Harapandaily

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tidak berdosa seseorang Muslim yang termakan daging babi secara tidak sengaja atau tanpa diketahuinya.

Menurutnya, hukum berkenaan adalah didasarkan kepada dalil al-Quran dan hadis.

“Termaklum bahawa daging babi adalah haram dimakan umat Islam berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dalam surah al- Baqarah ayat 173.

“Ia bermaksud ‘diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang disembelih tanpa menyebut nama Allah SWT,” katanya dipetik BH.

Beliau mengulas mengenai isu tular kejadian penghantar makanan (p-hailing) tersilap hantar pesanan sehingga anak pelanggan termakan daging babi panggang.

Kisah itu dikongsikan pengguna Facebook (FB) Izham Nayan menerusi hantaran tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, maksud yang sama difahami juga daripada ayat 3 surah al-Maidah.

Jelasnya, firman Allah SWT bermaksud ‘dan tidaklah berdosa ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (berdosa) dalam apa yang disengajakan oleh hati kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang (Surah al-Ahzab ayat 5)’.

“Ulama menasihatkan, jika seorang Muslim mengetahui bahawa dia sudah termakan daging babi dan mampu memuntahkannya maka dia hendaklah berbuat demikian,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan