Pecah rumah cari modal untuk penuhi keinginan isteri bercuti

Malaysiakini

Seorang lelaki yang disyaki aktif melakukan jenayah pecah rumah di Padang Terap hingga menyebabkan kerugian mencecah RM40,000, ditahan di sebuah rumah di Felda Lubuk Merbau, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 31 Mei oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Dia berkata suspek yang berasal dari Sik itu mengaku terlibat dalam 21 kes pecah rumah di daerah terbabit bagi memenuhi keinginan isterinya untuk pergi bercuti serta membayar hutang skim pembiayaan kredit.

“Suspek bergerak secara bersendirian melakukan jenayah itu di sekitar kawasan Felda Lubuk Merbau dan Naka.

"Dia juga melakukan pecah kenderaan dan mencuri barangan berharga di tempat letak kenderaan dan rumah-rumah,” katanya pada sidang media di Kuala Nerang hari ini.

Mulkiaman berkata polis turut menahan isteri suspek yang berusia 30 tahun di rumah mereka di Felda Lubuk Merbau dekat sini pada 3 Jun lepas untuk membantu siasatan.

Katanya polis merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah rumah suspek. Antaranya pemotong besi dan sarung tangan selain sebuah kereta yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis menahan seorang lelaki berusia 40-an yang membeli barangan curi.

"Polis juga berjaya menjumpai semula sejumlah barangan yang disyaki dicuri oleh suspek termasuk tong gas, peralatan elektrik dan telefon bimbit.

“Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan,” katanya.

Menurut Mulkiaman isteri suspek juga dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Jun lalu.

Suspek pula direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457, Seksyen 448 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan