Pelabur asing lari tinggalkan Israel

AGENSI

GAZA: Perang di Semenanjung Gaza yang berlarutan lebih lapan bulan mengakibatkan pelabur asing mula meninggalkan Israel.

Ekonomi Israel terpaksa membayar harga tinggi berikutan peperangan berlanjutan bukan sahaja di Semenanjung Gaza, malah di sempadan Lubnan.

Imej pertempuran juga menyebabkan kejatuhan mendadak 55.8 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) Israel pada suku pertama tahun ini.

Ia hampir tidak melepasi penanda AS$1 bilion (RM4.71 bilion) dan hanya mencapai purata suku tahunan AS$4.8 bilion (RM22.63 bilion) sepanjang empat tahun sebelumnya.

Portal berita Al-Qus yang memetik Jerusalem Time melaporkan situasi itu berlaku kerana dalam tempoh tiga bulan terakhir 2023, FDI Israel sudah mengalami penurunan sebanyak 50 peratus, menurut data rasmi dari pejabat perangkaan Israel, Selasa lalu.

"Data ini lebih membimbangkan kerana ia membabitkan operasi penubuhan jangka panjang pembentukan syarikat asing, contohnya, membangunkan anak syarikat dan pengambilalihan syarikat di Israel.

"Pelaburan itu bukan menggerakkan modal, tetapi juga menawarkan akses kepada teknologi baharu yang menggalakkan inovasi dan produktiviti, serta kaedah pengurusan," kata seorang pegawai Kementerian Kewangan.

Ia diburukkan lagi dengan keengganan 80 peratus pelabur dalam industri teknologi tinggi yang menjadi tumpuan utama ekonomi Israel. Sektor ini sahaja menyediakan separuh daripada eksport Israel.

Intel Amerika antara yang menggantung pengembangan kilang 'microprocessor' di Israel. Syarikat itu menjadi pelaburan asing terbesar di negara itu.

Selain itu, ekonomi Israel diburukkan lagi dengan tindakan syarikat tempatan yang mula mencari lokasi lebih tenang seperti di Amerika Syarikat (AS).

Jumlah pelaburan langsung mereka di luar negara melonjak pada suku pertama tahun ini kepada AS$3.6 bilion (RM16.97 bilion), tiga kali ganda bilangan operasi warga asing di Israel.

Akhbar ekonomi harian Calcalist menyatakan tindakan sedemikian adalah menentang dasar ekonomi kerajaan Benjamin Netanyahu dan Menteri Kewangannya, Bezalel Smotrich, yang menurut unjuran Bank of Israel, defisit bajet untuk membiayai perang boleh mencecah kira-kira AS$67 bilion (RM315.9 bilion) menjelang 2025.

Jutawan Israel juga kini berada dalam tekanan kerana dalam tempoh beberapa dekad ini, Israel tidak lagi muncul dalam senarai 10 negara paling menarik untuk pelabur asing.

Ia adalah berdasar analisa firma British Henley & Partners yang mengkhususkan diri dalam 'program migrasi dan pelaburan yang paling dicari di dunia'.

Analisa itu menyatakan, perang semasa bukan sahaja mencemarkan imej Israel sebagai tempat perlindungan yang selamat untuk pelabur asing tetapi juga menjadi ancaman kepada ekonomi Israel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan