Tentera tahan 10 PATI dalam kebun getah

NORLIDA AKMAR IDROS
Seramai 10 PATI warga Myanmar dicekup di kebun getah dekat sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, semalam.
BUKIT KAYU HITAM – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyusup masuk ke negara ini menerusi kebun getah, di sini berjaya ditahan anggota tentera semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tangkapan pada pukul 3.40 petang itu dilakukan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 10 individu itu terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan berumur antara 21 hingga 49 tahun yang merupakan warga Myanmar,” katanya.

Menurutnya, kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan cuba masuk ke negara ini melalui laluan haram di sempadan.

“Turut dirampas enam telefon bimbit, 12 beg, satu pasport palsu serta wang tunai dalam mata wang Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan RM 3,326.23,” ujarnya.

Tambahnya, semua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

“Pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan