Pengkhianat: Bekas Datuk Bandar JB hadapi 12 tuduhan rasuah RM1.55 juta

Malaysiakini 
Bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.55 juta antara tahun 2020 hingga 2021.

Datuk Adib Azhari Daud, 63, didakwa menerima wang untuk diri sendiri sebagai upah membantu dua lelaki mendapat pelbagai projek di kawasan MBJB melalui seorang lagi individu lain bernilai antara RM10,000 hingga RM250,000 menerusi 12 transaksi berbeza.

Antara projek-projek itu ialah kerja-kerja penyelenggaraan tahunan landskap tepi jalan bagi tempoh 28 bulan; kerja penyelenggaraan tahunan mencantas dan menebang pokok bagi tempoh 24 bulan; dan kerja penyelanggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan.

Selain itu kerja membina dan menyiapkan Jalan Banjaran; kerja mengatasi masalah tebing runtuh di Flat Sri Orkid dan Taman Bukit Tropika; dan kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrikal pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, Sungai Chat dan Sungai Segget bagi tempoh 24 bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Serama 7, Larkin di sini antara 26 Jun 2020 dan 6 Ogos 2021 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Siti Noraida Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM Johor sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Natrah Fariha Rahmat manakala Adib Azhari diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan