Warga Indonesia rakam video wanita dalam tandas ditahan

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my

MELAKA: Seorang tukang cuci warga Indonesia ditahan polis selepas merakam video pelancong wanita di dalam tandas sebuah kedai menjual biskut di pusat bandar raya ini, petang kelmarin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata kejadian berlaku jam 4.15 petang ketika wanita berusia 24 tahun berasal dari Klang, Selangor itu menggunakan tandas di tingkat satu kedai terbabit di Lorong Hang Jebat di sini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang bekerja sebagai eksekutif kanan logistik sebuah syarikat di Selangor memberitahu ketika hendak memakai seluar dia ternampak telefon bimbit pada lubang dinding tandas di sebelah kiri.

"Mangsa yang terkejut terus mencapai paip air lalu menyiram ke arah tangan yang memegang telefon bimbit itu dan bergegas keluar dari tandas kerana ketakutan.

"Sejurus selepas itu, mangsa memberitahu kawan lelakinya dan kemudian membuat aduan kepada pengurus kedai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata, pengurus kedai itu kemudian memeriksa telefon bimbit pekerja warga Indonesia dikenali sebagai 'Feri' dan mendapati ada beberapa video wanita di dalam tandas.

"Suspek berusia 27 tahun ditahan jam 8 malam susulan aduan mangsa dan hasil saringan ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman empat hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/14Akta Kesalahan Kecil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan