Bunuh ibu bapa angkat, broker saham dihukum gantung sampai mati

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
TAN (memakai pelitup muka) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban. FOTO Ahmad Hasbi
TAN (memakai pelitup muka) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang broker saham selepas didapati bersalah atas dua tuduhan membunuh pasangan warga emas di Nilai, lima tahun lalu.

Ringkasan Berita
  • Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Tan Kian Ngip selepas didapati bersalah atas dua tuduhan membunuh pasangan warga emas
  • Tan didakwa membunuh Eng Chong Hwa, 67, dan Tan Kim Joo, 73, di Taman Desa Melati, Nilai, pada 24 Julai 2019br>
  • Tan tidak mengemukakan sebarang rayuan atau mitigasi walaupun telah ditanya beberapa kali oleh hakim.
  • Timbalan Pendakwa Raya menyatakan tiada hukuman lain yang sesuai selain hukuman gantung kerana mangsa adalah ibu bapa angkat tertuduh yang menjaganya sejak kecil
  • Pembunuhan tersebut dianggap kejam dan dirancang
Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas tertuduh Tan Kian Ngip, 45, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Selepas saya melihat dan mendengar hujahan pemberat yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sahaja, memandangkan tertuduh tidak ingin mengemukakan apa-apa rayuan atas hukuman, saya dengan ini memutuskan tertuduh dijatuhkan hukuman mati dengan gantung diri pada tarikh serta tempat yang akan ditetapkan kelak," katanya pada prosiding keputusan, hari ini.

Mengikut pertuduhan yang bacakan secara berasingan, Tan didakwa membunuh Eng Chong Hwa, 67, dan Tan Kim Joo, 73, dengan menikam menggunakan pisau.

Semua kesalahan itu dilakukan di Taman Desa Melati, Nilai antara 4 petang hingga 7.45 malam, 24 Julai 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Rohani beberapa kali bertanya kepada tertuduh sama ada mahu membuat rayuan sebelum hukuman diputuskan, namun lelaki itu tetap dengan pendirian tidak mahu membuat mitigasi rayuan.

Tertuduh dituduh pada Ogos 2019 sebelum perbicaraan berlangsung yang memanggil 40 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Alauddin Baharom dalam hujahan pemberatan memberitahu mahkamah tiada hukuman lain yang sesuai terhadap tertuduh selain hukuman gantung.

Ini kerana katanya, dengan mengambil kira kedua-dua mangsa dalam kejadian itu adalah ibu bapa angkat tertuduh yang menjaganya sejak kecil serta menganggapnya sebagai pembunuhan kejam dan dirancang.

Alauddin berkata, bedah siasat terhadap bapa angkat tertuduh mendapati mangsa mengalami 13 kecederaan dengan tujuh luka tikaman pada badan yang menembusi organ paru-paru dan jantung.

Katanya, ibu angkatnya pula ditemui dengan 18 kesan kecederaan dan 11 daripadanya luka tikaman yang menembusi jantung, hati, buah pinggang, usus kecil dan usus besar.

"Kesalahan membunuh ini berlaku di rumah ibu dan bapa di Nilai, Negeri Sembilan yang mana tertuduh tidak tinggal sekali. Tertuduh tinggal di Kuala Lumpur. Tertuduh pinjam kereta bekas teman wanita empat hari sebelum kejadian pembunuhan. Terdapat beberapa kali rekod touch n go keluar masuk tol Sungai Besi-Nilai.

"Tertuduh juga cuba memusnahkan bukti dengan cubaan membakar rumah terbabit, namun malangnya api yang cuba dihidupkan tidak berjaya memusnahkan bukti yang ada. Si mati dalam kes ini dibiarkan begitu sahaja sehinggalah ditemukan bomba," katanya.

Tertuduh diwakili Peguam S Dynasri manakala Peguam Wong Wei Fan dan Syed Ismit dan Putra Syed Mohd Fuad sebagai peguam pemerhati keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan