Tentera Indonesia tunggu siasatan polis kematian wartawan

BERNAMA

Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Nugraha Gumilar bercakap dengan media Indonesia di Jakarta, semalam. Foto AGENSI
JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedang menunggu hasil siasatan polis berhubung kematian wartawan Tribrata TV, baru-baru ini.

Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Nugraha Gumilar, berkata TNI tidak dapat mengesahkan pembabitan anggota tentera dalam kes itu namun menegaskan bahawa jika ada yang terbabit, mereka akan tertakluk kepada undang-undang tentera.

"Kami sedang menunggu dapatan daripada agensi yang terbabit. Kami berharap satu penjelasan dapat dicapai tidak lama lagi," katanya, seperti yang dipetik oleh Agensi Berita Indonesia (ANTARA) hari ini.

Menurut ANTARA, wartawan Tribrata TV, Rico Sempurna Pasaribu terkorban dalam kebakaran di rumahnya di Kabanjahe, daerah Karo, Sumatera Utara, pada 27 Jun lalu.

Kebakaran itu yang turut meragut nyawa isteri, anak dan cucunya, disyaki berkaitan dengan laporan beritanya mengenai rangkaian perjudian dalam talian.

Semalam, Majlis Akhbar menggesa Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo supaya menubuhkan pasukan tidak berat sebelah untuk menyiasat kejadian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan