Mulanya bersantai tepi pantai lalu tertidur, sedar di tengah laut

KOSMO
Hong Nan diselamatkan kru sebuah bot memancing yang menemuinya terapung di tengah laut. – Oddity Central
TAIPEI –  Seorang lelaki di Taiwan ditemui terapung di atas sebuah pelampung selepas hanyut selama 19 jam di tengah laut setelah dia tertidur ketika bersantai, lapor laman berita Oddity Central minggu ini.

Dalam kejadian pada 7 Julai lalu, penumpang sebuah bot memancing yang menuju ke arah jeti di bandar New Taipei tekejut melihat sebuah objek aneh terapung di tengah laut.

Apabila menghampiri objek tersebut, mereka mendapati seorang lelaki tidak berbaju sedang terapung di atas pelampung berwarna pelangi.

Kumpulan itu membantu lelaki tersebut, Hong Nan, 58, naik ke atas bot sebelum menuju ke daratan  dan menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Hong Nan berkata, pada hari sebelumnya iaitu sekitar pukul 6 petang hingga 7 malam (waktu tempatan), dia berehat di atas pelampung di tepi pantai disebabkan cuaca panas.

Lelaki itu mengaku  minum  minuman keras, menyebabkan dia tertidur untuk tempoh agak lama.

Sejurus tersedar, Hong Nan terkejut mendapati dia berada di kawasan laut terbuka dan jauh dari pantai.

Dia cuba menjerit untuk meminta tolong, namun tiada sesiapa mendengar jeritannya. Lelaki itu kemudian pasrah dan membiarkan dirinya hanyut dibawa arus.

Walaupun kelihatan lemah dan mengalami dehidrasi ketika dibawa ke hospital, Hong Nan berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan