Pengantin lelaki sebak selepas selesai akad nikah

Air mata termahal

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
AHMAD Nazirul Safwan sebak selepas selesai akad nikah. FOTO IHSAN AHMAD NAZIRUL SAFWAN AHMAD YUSUF
AHMAD Nazirul Safwan sebak selepas selesai akad nikah. FOTO IHSAN AHMAD NAZIRUL SAFWAN AHMAD YUSUF
Tapah: Bukan mudah melihat seorang lelaki menitiskan air mata namun Ahmad Nazirul Safwan Ahmad Yusuf tidak dapat menahan sebak sebaik selesai majlis akad nikahnya iaitu hari sah bergelar suami.

Kisah Ahmad Nazirul Safwan, 23, mendapat perhatian warganet selepas dia berkongsi foto menangis dan detik ketika hari bahagia di TikTok.

Perkongsian Ahmad Nazirul Safwan meraih empat juta tontonan dengan rata-rata warganet mendoakan pasangan berkenaan berbahagia.

Berkongsi kisah di sebalik gambar, Ahmad Naziful Safwan berkata, dia membesar tanpa kasih sayang ibu kerana syurganya meninggal dunia ketika dia berumur empat bulan.

"Mengenangkan emak membuatkan saya sebak sangat ketika akad nikah.

"Syukur kerana akhirnya saya bertemu jodoh dengan wanita yang boleh saya menumpang kasih dan meluah seperti emak," katanya.

Bercerita lanjut, Ahmad Nazirul Safwan yang bekerja sebagai kelindan lori berkata, dia berkenalan dengan isteri, Nurul Azira Ahmad, 24, pada Februari tahun lalu sebelum menjalin cinta dan sepakat berkahwin pada 25 Mei lalu dengan restu kedua-dua keluarga.

Ahmad Nazirul Safwan berkata, dia dan isteri berkenalan menerusi aplikasi temu janji dan berkawan sebelum terjalin keserasian di antara mereka.

"Jadi, saya kumpul duit untuk buktikan saya serius dan syukur isteri terima lamaran saya. Dia beritahu saya. lelaki dikenalinya sebelum ini hanya datang dan pergi," katanya.

Ahmad Nazirul Safwan berkata, niatnya memuat naik gambar ketika majlis akad nikah sekadar berkongsi kenangan pada hari bahagia.

"Tapi tak sangka ramai puji malah ada kata saya tak memilih rupa dalam mencari pasangan.

"Jujurnya, saya tak letak paras rupa sebagai kriteria utama pemilihan pasangan kerana sedar diri juga ada kekurangan.

"Memang ada cuba perlekehkan, saya abaikan dengan buang yang negatif, ambil positif kerana lagi ramai mendoakan.

"Bagi saya, tak kisah isteri cantik atau tidak, yang penting dia pandai hormat orang," katanya.

Sementara itu, Nurul Azira berkata, dia menyangka Ahmad Nazirul Safwan hanya berseloroh sewaktu meluahkan hasrat mengahwininya kerana suami suka bergurau.

"Tapi, dia buktikan apabila bawa ayah dan ibu tiri melamar saya, jadi waktu itu nampak kesungguhannya.

"Bukan tak yakin pada awalnya cuma sebelum mengenali suami, saya ada berkawan dengan lelaki lain tapi tak sampai tahap nak kahwin, malah pernah ditolak kerana segan nak keluar bersama saya yang berkulit gelap.

"Saya terima suami kerana dia lembut tutur kata, baik dengan saya mahupun keluarga," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan