KOSMO
GAMBAR menunjukkan ikan tilapia dagu hitam. – AGENSI
BANGKOK – Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand memberikan masa tujuh hari kepada Jabatan Perikanan untuk mengenal pasti punca lonjakan populasi ikan tilapia dagu hitam, lapor portal berita Thaiger semalam.
Setiausaha tetap kementerian berkenaan, Prayoon Inskul mengumumkan kelmarin bahawa pelan menyeluruh telah dirangka bagi menangani lonjakan populasi ikan tersebut yang merebak ke 16 wilayah.
Strategi awal melibatkan sebuah jawatankuasa bagi mengawal populasi tilapia dagu hitam menjelang September 2025 dan meningkatkan harga ikan itu kepada 15 baht (RM1.93) sekilogram berbanding harga semasa 8 baht (RM1.05) untuk satu kilogram.
“Jawatankuasa ini akan menyiasat bagaimana pengimportan spesies tilapia dagu hitam menjejaskan ekosistem tempatan dan punca penyebaran populasinya,” kata Prayoon.
Sebagai langkah tambahan, jawatankuasa sama meneroka kemungkinan membebaskan ikan pemangsa seperti white sea bass untuk memakan anak-anak ikan tilapia dagu ikan yang merupakan spesies invasif.
Ikan white sea bass boleh hidup di persekitaran air masin atau air tawar.
Pada 19 Julai lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Bancha Sukkaew mengumumkan larangan penternakan tilapia dagu hitam. Mereka yang melanggar peraturan itu berdepan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda sehingga 1 juta baht (RM128,873) atau kedua-duanya sekali.
Larangan tersebut berikutan kebimbangan spesies invasif beasal dari rantau Afrika Barat itu boleh membiak dengan cepat di persekitaran Thailand sekali gus menjejaskan ekosistem tempatan. Situasi itu berisiko menjejaskan penternak dan nelayan kerana spesies ikan lain menjadi terancam. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan