Mengajar ajaran sesat Millah Abraham kepada anak, pemuzik dipenjara 3 bulan

Ahmad Hasbi
bhnews@bh.com.my
Norasid Md Said mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.- Foto NSTP/Ahmad Hasbi
Norasid Md Said mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.- Foto NSTP/Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Pemuzik jalanan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan dengan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada anaknya, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Norasid Md Said, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulfikri Yasoa, selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengajar kepada anak lelakinya yang berusia 16 tahun.

Perbuatan itu dilakukan antara 1 hingga 30 Jun 2023 antara jam 8 malam hingga 11.59 malam bertempat di sebuah rumah Felda Palong 3, Gemas.

Oleh itu, tertuduh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh merayu hukuman penjara bermula dari ditangkap pada 10 Julai lalu dan sekiranya berbentuk denda, dikenakan denda yang paling minimum kerana masih menyara keluarga.

Pendakwa Syarie, Abdul Wafi Ramli meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang mampu memberi pengajaran kepada anggota ajaran berkenaan supaya tidak terus menyebarkannya.

Menurutnya, hukuman berat harus diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira tindakan tertuduh yang tidak menjaga kesucian agama Islam daripada tomahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh itu berturutan dari tarikh hukuman penjara yang lalu.

Norasid ketika ini sedang menjalani hukuman selepas dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan penjara selama sebulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan dengan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya, tahun lalu.

Pada prosiding sama, hari ini, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan dengan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada seorang ahli keluarga wanita berusia 42 tahun, April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengajar ajaran salah kepada wanita berkenaan berkaitan ayat al-Quran yang berlawanan dengan hukum syarak.

Kesalahan itu dilakukan pada tarikh 24 April 2023, kira-kira jam 5 petang, bertempat di sebuah rumah di Taman PGBF Harmoni, Gemas.

Mahkamah menetapkan sebutan semula 14 Oktober depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan