Wayang ke? Binaan haram begitu besar tidak disedari penguatkuasa?

Malaysiakini

MDCH roboh pembinaan pusat pelancongan di Cameron Highlands
Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) merobohkan binaan haram di sebuah pusat pelancongan di pusat peranginan tanah tinggi itu semalam kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menurut satu catatan di laman Facebook, MDCH berkata tindakan penguatkuasaan terhadap Pusat Pelancongan Cameron Santorini itu dilakukan mengikut Seksyen 70 (1) Pembinaan Tanpa Kelulusan di bawah Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Turut serta kakitangan adalah petugas Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semoga tindakan penguatkuasaan ini dapat menjadi iktibar dan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan agar mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan semasa yang berkuatkuasa.

“Tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan. Operasi berjalan dengan baik dan lancar,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, pusat pelancongan itu baru dibuka pada April lalu dan menjadi tumpuan ramai terutama pelancong dari luar negara. Harga tiket adalah RM40 untuk dewasa, manakala RM20 untuk kanak-kanak berumur antara lima dan 12 tahun.

Pada 30 Julai lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan supaya tidak menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri itu ‘dijajah’ dan ‘diratah’ secara terang-terangan oleh pendatang asing.

Merujuk “penjajahan” tanah negeri, khususnya di Cameron Highlands, titah baginda, tanah-tanah yang dahulunya dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.

Lebih mendukacitakan, titak baginda lagi, warga asing mengambil alih peranan sebagai `tauke' yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.

Baginda bertitah bahawa tanah di Cameron Highlands yang dahulunya disewakan kepada petani dan pengusaha tempatan, kini disewakan kepada warga asing.

Sambil menegaskan baginda tidak akan berkompromi dalam isu sebegini, Al-Sultan Abdullah menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan