Wanita berusia 28 tahun yang ditemui mati di rumahnya diklasifikasikan kes bunuh

Asol Awang
bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Seorang suri rumah berusia 28 tahun yang ditemui mati di rumahnya di Indera Mahkota, di sini pada 14 Ogos lalu, meninggal dunia akibat tekanan pada leher.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kes itu dikaitkan dengan unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

"Berdasarkan laporan bedah siasat, terdapat tekanan pada leher yang menyebabkan mangsa meninggal dunia. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek dan motif kejadian itu," katanya.

Yahaya ditemui media pada Seminar Cakna Anti-Scam (Kenapa Terus Jadi Mangsa) peringkat Pahang 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu, mangsa yang pada mulanya dilaporkan hilang ditemui mati di dalam rumahnya di Indera Mahkota.

Tiada kesan pecah masuk rumah tetapi telefon bimbit dan kunci kereta milik mangsa didapati hilang.

Berikutan kes itu, empat individu yang juga ahli keluarga mangsa berusia antara 27 dan 62 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan