Warga Bangladesh dicekup jual burung

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
PEGAWAI WCU Perhilitan menyoal siasat suspek warga Bangladesh yang dikesan menjalankan aktiviti penjualan burung liar dilindungi. FOTO Ihsan Perhilitan
PEGAWAI WCU Perhilitan menyoal siasat suspek warga Bangladesh yang dikesan menjalankan aktiviti penjualan burung liar dilindungi. FOTO Ihsan Perhilitan
Kuala Lumpur: Tidak sekadar aktif menjual pakaian atau berniaga runcit malah pendatang Bangladesh di negara ini turut dikesan menceburi aktiviti jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi.

Warga asing yang sudah 'berevolusi' ini dikesan meraih keuntungan besar melalui aktiviti haram penjualan unggas selain jadi pembekal kepada negara jiran.

Terbaharu seorang lelaki warga Bangladesh diberkas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia selepas dikesan memiliki pelbagai spesies unggas dilindungi.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi membanteras jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diketuai pegawai Wildlife Crime Unit (WCU) Perhilitan Celescoriano Razond.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis di Pasir Gudang, Johor pada jam 6 petang kelmarin.

"Seorang lelaki Bangladesh yang juga pemilik premis ditahan untuk soal siasat.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui empat ekor burung sun conure tidak matang disimpan di dalam akuarium.

"Turut ditemui seekor burung rose-ringed parakeet, dua burung fischer's lovebird, tiga burung mata putih, seekor burung murai batu, dua burung rainbow lorikeet, seekor burung white crowned shama dan seekor burung murai batu," katanya.

Menurutnya, suspek yang disoal siasat gagal menunjukkan lesen atau permit bagi menyimpan hidupan liar berkenaan.

"Malah suspek mengaku menjual burung murai batu yang dilesenkan sebagai lesen menyimpan.

"Suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [AKTA 716]. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Seri Alam untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semua burung liar dilindungi bernilai hampir RM100,000 itu kemudian disita untuk bukti pendakwaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan