3 suspek ditahan, polis selesai kes bunuh pereka dalaman

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes seorang pereka dalaman yang ditikam 20 kali hingga maut di Petaling Jaya pada Isnin lepas selepas menahan tiga lelaki awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, hasil makluman dan risikan, ketiga-tiga suspek berusia antara 50 hingga 61 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di sini sekitar 3 pagi tadi.

“Ketiga-tiga suspek merupakan rakan serumah dan siasatan awal polis mendapati salah seorang daripada mereka dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan mangsa berusia 36 tahun itu.

“Suspek yang tidak mengenali mangsa dipercayai memecah masuk rumah mangsa untuk melakukan samun, namun terserempak dengannya yang kebetulan pulang ketika itu.

Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam, katanya dalam kenyataan.

M Hussin Sollehuddin berkata, Majistret di Mahkamah Petaling Jaya hari ini membenarkan ketiga-tiga suspek direman enam hari hingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin lepas, seorang pereka dalaman ditemukan mati di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan