Banjir di Kedah makin buruk, mangsa lebih 9,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Fenomena air pasang besar, hujan lebat serta tiga sungai utama melepasi paras bahaya menyebabkan jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 9,058 orang membabitkan 2,962 keluarga setakat 7.30 pagi tadi.

Mangsa ditempatkan di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Bandar Baharu dan Pokok Sena.

Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, Kota Setar terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir paling tinggi iaitu seramai 5,099 daripada 1,698 keluarga ditempatkan di 18 PPS.

Jumlah itu meningkat berbanding 4,717 mangsa daripada 1,554 keluarga yang dilaporkan 11 malam tadi, lapor Berita Harian.

Kubang Pasu mencatatkan peningkatan mangsa kepada 1,614 orang daripada 598 keluarga berbanding 1,483 mangsa daripada 450 keluarga.

Pendang merekodkan pertambahan iaitu 1,487 mangsa daripada 449 keluarga di 10 PPS manakala mangsa banjir di Pokok Sena pula kekal seramai 783 mangsa daripada 246 keluarga di lima PPS dan Bandar Baharu 147 mangsa daripada 34 keluarga dengan satu PPS masih dibuka.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, tiga sungai di Kota Setar terus melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat 7 pagi tadi.

Sungai terbabit ialah Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman.

Selain itu, Sungai Bata di Kubang Pasu juga masih melepasi paras bahaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan