Bapa, anak lelaki didakwa tembak maut murid, guru di sekolah

AFP 
Colin Gray. FOTO  Barrow County Sheriff's Office via REUTERS
Colin Gray. FOTO Barrow County Sheriff's Office via REUTERS
Washington: Seorang bapa bersama anak lelakinya berusia 14 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan menembak sehingga menyebabkan kematian di sebuah sekolah di Amerika Syarikat (AS), Rabu lalu.

Remaja itu menghadapi empat pertuduhan selepas didakwa membunuh dua rakan murid berumur 14 tahun serta dua guru di Sekolah Tinggi Apalachee di negeri selatan Georgia, pada hari kejadian.

Bapa suspek, Colin Gray, 54, ditahan dan menghadapi empat pertuduhan membunuh tanpa sengaja, dua pertuduhan pembunuhan tahap dua dan lapan pertuduhan kekejaman terhadap kanak-kanak, menjadikannya ibu bapa AS terbaharu yang menghadapi pertuduhan jenayah selepas seorang kanak-kanak terbabit dalam satu tembakan beramai-ramai.

Pengarah Biro Siasatan Georgia (GBI), Chris Hose berkata, pertuduhan dibuat selepas Gray sedar membenarkan anaknya memiliki senjata.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, CNN melaporkan, pistol yang digunakan dalam serangan itu, senapang serangan gaya AR 15, dibeli bapa itu untuk remaja terbabit sebagai hadiah percutian.

GBI berkata, suspek akan didakwa sebagai orang dewasa. Dia dijadualkan dibicarakan di mahkamah hari ini (Jumaat) dengan lebih banyak pertuduhan dijangka.

"Siasatan ke atas kes tembakan di Apalachee HS masih aktif dan berterusan.

"Ini adalah hari kedua siasatan yang sangat kompleks dan integriti kes itu adalah yang terpenting," kata agensi itu dalam catatan di X.

Pihak berkuasa berkata, sembilan orang kebanyakannya kanak-kanak yang cedera dalam serangan itu sedang dirawat dan dalam proses pemulihan.

Tembakan di sekolah adalah kejadian yang mengejutkan di AS, di mana senjata api melebihi jumlah orang dan peraturan untuk membeli senapang gaya tentera yang berkuasa pun adalah longgar.

Tanggungjawab ibu bapa dalam tembakan besar-besaran, terutama yang dilakukan kanak-kanak bawah umur, semakin mendapat perhatian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

April lalu, ibu bapa seorang remaja yang membunuh empat orang dalam tembakan sekolah di Michigan dijatuhi hukuman penjara 10 hingga 15 tahun, dalam kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan diawasi dengan teliti.

Jennifer dan James Crumbley adalah ibu bapa pertama penembak sekolah yang disabitkan dengan pembunuhan tanpa sengaja di AS kerana tindakan anak mereka.

Tinjauan menunjukkan, majoriti pengundi memihak kepada kawalan yang lebih ketat ke atas penggunaan dan pembelian senjata api, tetapi Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA) berkata, lobi pemilikan senjata api yang berkuasa menentang sekatan tambahan dan penggubal undang-undang telah berulang kali gagal bertindak.

Calon presiden dari parti Demokrat, Kamala Harris dalam satu kenyataan di X, berkata, tembakan di sekolah bukan sekadar realiti kehidupan.

"Ia tidak semestinya begini. Kita boleh mengambil tindakan untuk melindungi anak-anak kita dan kita akan melakukannya," tulisnya.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan