'Kepala beruk' laris di pasaran...

Nazdy Harun
bhnews@bh.com.my
Alias menunjukkan tumbuhan dipanggil kepala beruk yang diperoleh di hutan berhampiran kampungnya. - NSTP/Nazdy Harun
Alias menunjukkan tumbuhan dipanggil kepala beruk yang diperoleh di hutan berhampiran kampungnya. - NSTP/Nazdy Harun
KUALA BERANG: Permintaan tinggi terhadap 'kepala beruk' mendorong seorang penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini, berulang-alik ke hutan untuk mendapatkan tumbuhan itu.

Alias Pelong, 59, berkata jualan tumbuhan hutan yang turut dikenali sebagai 'sarang semut' yang hidup liar dan menumpang pada pokok hutan lain itu membolehkannya menjana pendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Beliau berkata, pokok 'kepala beruk' yang digunakan dalam perubatan tradisional mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli di Jeli, Kelantan, sejak 10 tahun lalu.

Katanya, tumbuhan itu biasanya hidup menumpang pada pokok besar seperti neram, meranti dan seraya, namun untuk mendapatkannya bukan mudah kerana perlu memanjat pokok berkenaan.

"Kepala beruk yang diperoleh akan diikat dan diturunkan menggunakan tali kerana tumbuhan tumpang itu mudah pecah jika dikendalikan tidak cermat.

"Apabila ke hutan, ada kalanya saya hanya dapat satu atau dua kepala beruk saja yang kemudian dikumpul hingga beratnya mencecah 100 hingga 200 kilogram (kg).

"Tumbuhan ini tidak boleh disimpan lama kerana mudah reput dan jika cukup jumlah berat kepala beruk yang diinginkan, saya akan menjualnya kepada pembeli.

"Bagi berat sekilogram kepala beruk dijual dengan harga RM5 hingga ke RM6, jadi saya memerlukan kuantiti yang banyak sebelum menghantarnya kepada pembeli di Jeli," katanya.

Alias berkata, dalam tempoh seminggu, dia mampu mengumpul antara 200 hingga 300 kilogram kepala beruk dan kerja itu dilakukan bersama ahli keluarganya.

Katanya, tumbuhan itu mudah diperoleh di atas pokok yang kedudukannya berdekatan sungai, namun agak sukar untuk membawa pulang dalam kuantiti banyak kerana saiznya yang besar dan berat.

"Selagi kudrat masih kuat, saya akan terus melakukan kerja mencari kepala beruk kerana permintaan tidak putus-putus sejak mula mencari hasil hutan itu.

"Disebabkan ia hanya boleh diperoleh di hutan dan sukar untuk memperolehnya, jadi saya tiada saingan dalam bidang ini kerana sudah ada pembeli tetap," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan